KEADAAN motosikal  mangsa yang terbakar.
KEADAAN motosikal mangsa yang terbakar.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bagan Serai: Seorang lelaki parah apabila motosikal berkuasa tinggi ditunggang terbabas di Jalan Kuala Kurau, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kurau, di sini, kelmarin.

Lebih malang, mangsa Muhamad Faez Hamizol, 24, bukan saja patah hidung dan pinggang, malah motosikal jenis Naza Blade 250 miliknya turut hangus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai Azmir Hassan berkata, pihaknya yang menerima maklumat pada jam 2.50 petang bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba, pihaknya mendapati api sedang marak membakar motosikal terbabit.

“Pihak kami mengambil masa kira-kira lima minit untuk memadamkan kebakaran menggunakan air dari tangki jentera.

“Mangsa yang patah hidung dan pinggang serta cedera di muka segera dikejarkan ke Hospital Parit Buntar oleh jentera EMRS Bagan Serai untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Azmir berkata, operasi tamat pada jam 3.12 petang, namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sebelum ini, pada 13 Januari lalu di lokasi sama, sebuah van yang dinaiki empat orang secara tiba-tiba terhenti dan mengeluarkan asap dari bahagian pemanduan sebelum terbakar dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 5.20 petang itu.

Pasukan bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi memadamkan kebakaran itu, tetapi van terbabit hangus, manakala tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:50 AM