Muhammad Hanzalah Md Yusoff, 19, menunjukkan keputusan STAM kepada ibunya, Roslina Abdullah, 53 di Seri Manjung, Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Muhammad Hanzalah Md Yusoff, 19, menunjukkan keputusan STAM kepada ibunya, Roslina Abdullah, 53 di Seri Manjung, Manjung. FOTO NOOR HIDAYAH TANZIZI
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: "Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, saya peroleh kejayaan ini. Ia didedikasikan untuk ummi dan ayah kerana percayakan saya biarpun saya hanya mula bersekolah secara rasmi (belajar akademik) ketika berusia 16 tahun," kata Muhammad Hanzalah Md Yusoff, 19.

Pelajar Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Mizan di Manong, Kuala Kangsar itu memperoleh keputusan 9 Mumtaz (cemerlang) dan 1 Jayyid Jiddan (sangat baik) bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang diumumkan hari ini.

Muhammad Hanzalah berkata, selepas tamat persekolahan rendah, dia memilih untuk belajar di tahfiz dekat Manong sebelum berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Menurutnya, dia kemudiannya memasuki sekolah menengah agama swasta di Lekir, Sitiawan untuk menyambung pelajaran ketika berusia 16 tahun bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Alhamdulillah, saya memperoleh keputusan 7A, 1B dan 1C dalam SPM ketika itu dan itu juga menaikkan semangat saya untuk memperoleh keputusan lebih baik dalam STAM," katanya ditemui di rumah keluarganya di Fasa 2F, Seri Manjung.

Anak kepada pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan suri rumah itu berkata, dia mahu menjadi seorang al-Hafiz yang memiliki pendidikan al-Quran dan akademik yang seimbang.

"Saya bercita-cita mahu menjadi pensyarah dan jika berpeluang, mahu melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir dan mengambil jurusan Syariah Islamiah," kata anak keenam daripada lapan beradik itu.

Muhammad Hanzalah berkata, dia mengamalkan solat sunat dan puasa sunat serta lebih suka mengulangkaji pelajaran sebelum subuh kerana baginya, waktu itu, otak lebih segar malah mudah untuk menghafaz.

Katanya, dia berpegang kepada prinsip ilmu perlu dikongsi dan selagi ilmu itu boleh disebarkan, kita perlu menyebarkannya kerana ia akan memberi manfaat kepada diri kita juga.

"Paling penting jangan tinggal solat dan menjaga hubungan dengan Allah SWT, ibu bapa, guru dan rakan. Setiap kali peperiksaan, saya akan minta tolong ummi dan ayah (Roslina Abdullah, 53, dan Md Yusoff Omar, 54) doakan saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 2:33 PM