Reaksi James  dan  Jennifer  pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Klang Jaya.
Reaksi James dan Jennifer pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Klang Jaya.
Oleh Siraj Mohd Zaini


Klang: Kekurangan tubuh kerdil bukan penghalang buat murid, C James, tujuh tahun, memulakan persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Klang Jaya, semalam.

James yang juga murid tahun satu mempunyai ketinggian kurang 80 sentimeter (sm) dengan berat kira-kira lapan kilogram (kg).

Namun, dia tidak langsung menunjukkan perasaan malu, malah dilihat bersemangat ketika menghadiri hari pertama persekolahan.

Dia bersama kakaknya, C Jennifer, sembilan, yang mempunyai fizikal yang sama turut memulakan sesi persekolahan di sekolah berkenaan menjadi tumpuan murid dan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing.

Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas SK Taman Klang Jaya Siti Wan Noor Abdul Rashid berkata, kedua beradik itu akan mengikuti pengajian aliran Projek Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menurutnya, kehadiran Jennifer dan James diterima dengan tangan terbuka oleh semua warga pendidik di sekolah berkenaan kerana ia tidak menjadi halangan mereka untuk bergelar murid pada sesi persekolahan tahun ini.

Katanya, mereka berdua tidak mendatangkan masalah kerana sudah biasa dengan persekitaran sekolah selepas dihantar oleh ibu bapanya sejak berusia enam tahun bagi mengikuti kelas prasekolah.

“Mereka hanya kerdil saja namun dari aspek pembelajaran, kedua-duanya tetap sama dengan murid lain. Sebagai contoh, Jennifer mempunyai tahap kecerdasan minda yang baik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 4:55 AM