GURU, Chu Chai Chop   mengajar Chun Yih, semalam.
GURU, Chu Chai Chop mengajar Chun Yih, semalam.

Jerlun: “Saya tidak kisah walaupun terpaksa berulang-alik sejauh 20 kilometer (km) dari rumah untuk menghantar Chun Yih ke sekolah demi memastikan dia mendapat perhatian sepenuhnya daripada guru,” kata Chong Mee Kim, ibu kepada satu-satunya murid Tahun Satu yang mendaftar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chee Nan, di sini, tahun ini.

Chong, 50, berkata, walaupun dia menetap di Tongkang Yard, Alor Setar, namun tidak mematahkan semangat untuk menghantar anak lelakinya ke sekolah berkenaan demi menjamin kejayaannya.

Katanya, dia akan bangun seawal jam 5 pagi untuk melakukan persiapan persekolahan anaknya termasuk menyediakan sarapan.

“Saya tahu anak saya menjadi satu-satunya murid tahun satu di sekolah ini, namun saya tidak kisah kerana mahu memastikan dia mendapat perhatian lebih guru.

“Selain itu, ia juga tidak mematahkan semangat anak saya untuk seronok belajar memandangkan dia seorang yang aktif,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Katanya, ketika dihantar masuk ke kelas pada hari pertama, anaknya kelihatan ceria dan teruja seperti kanak-kanak lain yang mengikuti sesi pembelajaran di sekolah berkenaan.

Sementara itu, Guru Besar, Lai Hoi Tiean berkata, mengajar murid tunggal di sekolah itu mempunyai kelebihan tersendiri kerana setiap guru boleh memberi tumpuan lebih terhadap kelemahan Chun Yih.

“Walaupun sekolah ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), namun jumlah yang sedikit itu bukan perkara asing kerana turut merekodkan seorang saja murid Tahun Tiga yang belajar di sini, untuk sesi kali ini.

“Sesi pembelajaran dan pengajaran (P&P) akan berjalan seperti biasa, malah kita juga boleh fokus terhadap sudut kepemimpinan apabila semua murid diberi peluang untuk berucap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:35 AM