Hishammuddin dalam ucaptama Mesyuarat   ADMM  ke-10,   semalam.
Hishammuddin dalam ucaptama Mesyuarat ADMM ke-10, semalam.
Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa dan Fardy Bungga

Subang Jaya: Negara ASEAN perlu bersatu dan menyampaikan mesej jelas kepada dunia luar berhubung ketegasan dalam menangani isu keganasan secara bersama.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, isu menangani keganasan perlu dibuat secara kolektif dan semua pihak harus menggalas tanggungjawab itu.

“Kita mengambil pendirian bersama dan mengutuk keras terhadap gerakan menyebarkan fahaman eksterisme seperti militan Negara Islam (IS).

“Ini bukan kerja mudah dalam keadaan dunia tanpa sempadan dan landskap politik serta keselamatan yang kompleks,” katanya dalam ucaptama Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-10 di Saujana Resort Subang, di sini, semalam.

Menurutnya , negara ASEAN harus terus mempromosi program dialog antara negara anggota bagi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terus terpelihara.

Beliau yang juga Pengerusi ADMM ke-10 berkata, setiap negara anggota harus menjaga kestabilan rakyat dan negara masing-masing bagi merealisasikan matlamat itu.

“Mesyuarat kali ini sangat penting untuk kepentingan bersama negara anggota melalui persefahaman yang sedia terjalin.

“Ia tugas bersama memastikan keselamatan generasi akan datang dengan belajar daripada kesilapan lampau dan bekerja rapat mengelakkan insiden tidak diingini berlaku di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Hishammuddin berkata, kehadiran delegasi pada mesyuarat kali ini memperkukuhkan komitmen dengan berkongsi idea berhubung keadaan keselamatan semasa di rantau ini.

Beliau turut menggesa menteri pertahanan rantau ini terus berdialog bagi mencapai matlamat bersama iaitu kestabilan dan keamanan serantau.

“Sebagai menteri pertahanan, tanggungjawab terletak di atas bahu kita untuk memastikan kestabilan negara, rakyat dan lebih penting rantau ini secara keseluruhan,” katanya.

ADMM mekanisme tertinggi perbincangan dan kerjasama pertahanan dalam ASEAN mengenai perkara berkaitan pertahanan.

Ia bertujuan memupuk kepercayaan bersama dan keyakinan melalui peningkatan pemahaman mengenai cabaran pertahanan dan keselamatan serta meningkatkan ketelusan dan keterbukaan.

ASEAN dianggotai 10 negara iaitu Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam manakala lapan rakan dialog dalam ASEAN Campur ialah Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Russia dan Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2015 @ 5:45 AM