kereta yang dilanggar tayar treler yang tercabut.
kereta yang dilanggar tayar treler yang tercabut.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu kereta terpinga-pinga apabila dua tayar treler ‘terbang’ menghentam belakang keretanya secara mendadak.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, tayar seberat lebih 100 kilogram itu tercabut dan melanggar belakang kereta mangsa di Jalan Duta Kuala Lumpur, berhampiran Jalan Bukit Ledang di sini.

Akibatnya kereta mangsa remuk di belakang, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan.

Saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Hilmi, 30, berkata, treler berkenaan dipercayai berada di lorong tengah sebelum dua tayarnya tercabut mendadak.

“Ketika itu anak saya sempat menunjukkan keadaan tayar treler itu yang bergoyang dan seolah-olah hampir tercabut. Telahan anak saya itu menjadi kenyataan apabila tayar itu tercabut dan terpelanting.

“Tayar itu menghentam belakang kereta berhampiran. Mujur mangsa di dalam kenderaan itu tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, pemandu treler itu dipercayai tidak menyedari kejadian berikutan kenderaan berat itu terus bergerak meninggalkan lokasi kejadian.

“Pemandu kereta itu segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan bagi memeriksa kerosakan. Tayar treler itu dipindahkan ke bahu jalan bagi mengelakkan pengguna jalan raya lain melanggarnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 10:16 AM