Seorang penjenayah ‘spiderman’ sanggup menggadai nyawa memanjat dapur tingkat 27 sebuah pangsapuri bagi membolehkan dia memecah masuk unit rumah berkenaan.

Dalam kejadian jam 4 pagi semalam, suspek berjaya mengumpil jeriji besi di bahagian dapur rumah enam mangsa di Simfoni Height, Jalan Medan Selayang, Batu Caves, di sini.

Suspek berusia 20-an itu kemudian melarikan empat telefon pintar, dua komputer riba dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM15,000 tanpa disedari mangsa yang sedang tidur.

Mangsa, Muhd Azri Shahabudi, 25, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan lima lagi rakannya sedang nyenyak tidur sebelum menyedari barang berharga mereka dilarikan pada jam 6 pagi.

Katanya, suspek dipercayai mengumpil jeriji besi di bahagian dapur kediaman mereka sebelum memecah masuk rumah secara bersendirian.

“Kami kemudian membuat aduan berhubung kejadian itu kepada pengawal keselamatan pangsapuri itu. Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dilihat membawa beg sandang selain beg komputer riba milik saya.

“Ini kejadian pertama menimpa kami sepanjang menetap di pangsapuri ini. Saya dan rakan-rakan lain membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Oktober 2015 @ 7:37 AM