Projek pembinaan benteng pemecah ombak rancak berjalan.
Projek pembinaan benteng pemecah ombak rancak berjalan.
Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Projek mencegah hakisan ombak pantai sepanjang 4.3 kilometer di Pantai Tok Jembal berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini, dijangka siap Mei tahun depan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, projek bermula di kawasan Tok Jembal hingga ke Tanjung Gelam membabitkan kos RM70 juta dan sudah siap 70 peratus.

Menurutnya, projek fasa kedua itu merangkumi benteng pemecah ombak luar pesisir, benteng hakisan terminal dan rawatan penyuburan pantai bagi mengelak kawasan itu terhakis akibat banjir serta ombak besar.

“Sebelum ini, kerajaan negeri membelanjakan RM6.5 juta dan Kerajaan Pusat menyalurkan bantuan RM2.5 juta untuk pembinaan benteng pemecah ombak fasa satu.

“Berikutan kecekapan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, kita menjimatkan kos projek fasa kedua dan lebihan peruntukan digunakan bagi memanjangkan benteng ini,” katanya selepas melawat projek berkenaan di Pantai Tok Jembal, semalam.

Hadir sama, Pengarah JPS Terengganu Ir C Poobalan dan Pegawai Daerah Kuala Nerus Azmi Razik.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri bercadang meneruskan projek fasa ketiga membabitkan kawasan Tanjung Gelam hingga Tepoh yang turut mengalami masalah hakisan apabila projek itu siap kelak.

“Saya minta JPS menyediakan kertas cadangan yang lengkap untuk menyelesaikan masalah hakisan pantai di kawasan berkenaan pula.

“Kajian hidraulik dijalankan JPS bagi melihat keperluan daripada pelbagai aspek seperti jumlah peruntukan dan permohonan kos daripada Kerajaan Pusat bagi fasa ketiga.

“Kita jangka tiada masalah meneruskan projek ini kerana projek penambakan pantai ini ada dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11),” katanya.

Ahmad Razif berkata, kerjasama dengan UMT memberi manfaat kepada kerajaan negeri dalam menjadikan kawasan pantai sebagai hab pelancongan terutama bagi aktiviti memancing.

“Saya difahamkan UMT merancang mewujudkan ‘teaching port’ atau pusat kajian, di sini, dan melalui kerjasama ini, universiti melalui fakulti marin dapat membantu kerajaan negeri menaik taraf pantai sebagai hab pelancongan baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:09 AM