ISMAIL Sabri meninjau gerai seorang peserta program di Kota Bharu, semalam.
ISMAIL Sabri meninjau gerai seorang peserta program di Kota Bharu, semalam.
Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Nasib pekerja Penerbangan Malaysia (MAS) yang diberhentikan baru-baru ini bakal terbela apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan peruntukan pinjaman RM20 juta untuk mereka terbabit dalam industri pertanian.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan itu diletakkan di bawah pinjaman Tabung Ekonomi Usahawan Kecil Nasional (TEKUN) dan Agro Bank dengan masing-masing RM10 juta.

Katanya, mereka yang memohon layak menerima pinjaman antara RM10,000 hingga RM50,000 seorang.

“Ini semua untuk membolehkan ribuan pekerja MAS yang diberhentikan menjalani kehidupan lebih baik.

“Terbabit dalam pertanian bukan hanya bersifat tradisional iaitu bekerja di ladang sahaja, mereka boleh jalankan projek perniagaan dalam industri asas tani seperti buat kek dan sebagainya,” katanya, semalam.

Beliau terdahulu merasmikan program Road to Hari Petani, Penternak dan Nelayan Kebangsaan Peringkat Kelantan 2015.

Ismail Sabri berkata, walaupun kementeriannya tidak mempunyai kaitan dengan penstrukturan semula MAS, namun mereka tetap berasa bertanggungjawab.

“Dalam masa terdekat, saya sendiri akan bertemu dengan Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) untuk berbincang dengan lebih lanjut berhubung perkara itu,” katanya.

Menurutnya, kementeriannya juga bersedia memberi kursus untuk peserta memulakan projek dalam sektor yang mereka minati.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 8:49 AM