Serdang: Johor Corporation (JCorp), berminat untuk mengambil alih semua ladang satelit tinggalan Pusat Fidlot Nasional (NFC) termasuk di Gemas, Negeri Sembilan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, syarikat itu telah membentangkan kepada kementeriannya permohonan pengambilalihan itu dan mereka akan membentangkan sekali lagi kepada pihak Jabatan Veterinar untuk penerangan secara lebih teknikal dan terperinci.

“Bagaimanapun, perkara itu masih di peringkat perbincangan selain perlu mengambil kira persetujuan kerajaan Negeri Sembilan yang kini bertanggungjawab ke atas ladang NFC di Gemas,” katanya kepada media selepas menyampaikan Amanat Menteri 2015 kepada warga kementeriannya, semalam.

NFC memiliki 61 ladang ternakan satelit di seluruh negara termasuk di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Beliau berkata, usaha untuk memulihkan semula ladang terbabit adalah sebahagian daripada inisiatif kementeriannya untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran ternakan lembu termasuk pembukaan kawasan ternakan baru di Perak.

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada ternakan lembu tenusu yang boleh digunakan untuk kedua-dua tujuan iaitu yang boleh mengeluarkan susu dan daging,” katanya.

Ismail Sabri berkata, kementeriannya juga mahu bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar dapat membantu negara meningkatkan produk pertanian tertentu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 12:29 PM