ANGGOTA Bomba mengeluarkan dua mayat yang rentung dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
ANGGOTA Bomba mengeluarkan dua mayat yang rentung dalam kemalangan maut membabitkan tiga kenderaan. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Jasin: Seorang lelaki maut tercampak manakala dua rakannya rentung dalam kemalangan membabitkan tiga kereta di KM192 Leburaya PLUS arah utara, dekat Ayer Keroh.

Difahamkan, dalam kejadian 2.50 pagi, hari ini, kereta mangsa yang dari selatan itu terbabas ke kiri dan menyebabkan seorang lelaki tercampak keluar.

Pada masa sama, datang pula kenderaan pelbagai guna MPV dipercayai tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta berkenaan sehingga menyebabkannya diseret kira-kira 200 meter.

Selain itu, Perodua Myvi yang turut terbabit dalam kemalangan itu terbalik diperrcayai ketika cuba mengelak daripada merempuh kedua-dua kenderaan terbabit.

Berikutan perlanggaran itu, MPV dan kereta mangsa terbakar tetapi pemandu dan penumpang MPV sempat keluar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Rahizam Ruzali berkata, ketika bomba tiba di lokasi, dua kenderaan sedang marak terbakar.

"Dua maut rentung dalam kereta manakala seorang lagi tercampak. Akibat kemalangan itu, enam lagi cedera dan dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Tiga mayat terbabit kemudian dihantar ke Hospital Jasin namun identiti ketiga-tiganya belum dikenal pasti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2015 @ 11:09 AM