Pegawai SPR menurunkan kotak undi dari helikopter ketika tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman, semalam.
Pegawai SPR menurunkan kotak undi dari helikopter ketika tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman, semalam.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Syazwan Msar


Rompin: Semua 38 pusat pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin sudah bersiap sedia, malah kerja akhirnya sudah diselesaikan semalam.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Pahang Shafie Taib berkata, kerja di peringkat akhir yang membabitkan pemeriksaan terhadap semua peti undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmah Shah juga sudah selesai sebelum dihantar ke empat balai polis.

“Kita simpan semua peti undi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Balai Polis Muadzam Shah, Balai Polis Tun Abdul Razak dan Balai Polis Tekek, Pulau Tioman.

“Kita simpan peti undi di lokap dan petugas pilihan raya akan mengambilnya pada jam 6 pagi esok (hari ini) untuk dibawa ke semua pusat pengundian,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan terakhir juga dilakukan pada hari ini di sekolah atau balai raya sebelum dibuka kepada 52,744 pengundi.

“Peti undi ke Pulau Tioman sudah dihantar menggunakan helikopter kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Menurutnya, pusat pengundian akan ditutup secara berperingkat dan kemungkinan Bukit Ridan, Muadzam Shah, dekat sini, antara yang terawal iaitu kira-kira jam 4 petang berikutan jumlah pengundi hanya 312 orang saja.

“Kemungkinan pusat pengundian Pulau Tioman turut ditutup awal terutama di Juara dan Mukut berikutan jumlah pengundi masing-masing hanya 171 dan 136 orang saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mei 2015 @ 10:19 AM