SUBROMANIAM bersama ALIAS ketika sidang media mengenai GST di Putrajaya.
SUBROMANIAM bersama ALIAS ketika sidang media mengenai GST di Putrajaya.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Kompaun mencecah sehingga RM25,000 bakal dikenakan kepada pemilik syarikat dan peniaga yang gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tempoh satu bulan bermula 1 Mei ini.

Arahan itu dinyatakan Pengarah Bahagian GST JKDM Datuk T Subromaniam mengenai penyerahan penyata GST daripada pemilik syarikat dan peniaga terbabit berhubung perolehan bercukai sehingga tempoh berakhir pada 30 April ini yang perlu diserahkan kepada pihaknya pada atau sebelum 31 Mei ini.

“Kita tidak mahu pemilik syarikat dan peniaga ini lupa untuk mengemukakan penyata berkenaan kerana ia satu masalah berat jika gagal berbuat demikian.

“Bukan itu sahaja, sekiranya mereka disabitkan kesalahan oleh mahkamah, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya pada sidang media, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNK) Datuk Seri Alias Ahmad.

Subromaniam berkata, sebanyak 74,909 bilangan penyata sepatutnya diterima JKDM daripada pemilik syarikat dan peniaga bermula 1 Mei ini.

Katanya, penentuan tempoh bercukai terdiri daripada dua kaedah iaitu bulanan dan tiga bulan atau dipanggil sukuan.

“Bagi bulanan, syaratnya ialah perolehan bercukai sama atau melebihi RM5 juta manakala untuk tiga bulan ialah perolehan bercukai tidak melebihi RM5 juta.

“Terdapat dua kaedah mengemukakan penyata GST ini iaitu dalam talian menerusi portal GST dan manual iaitu melalui pos kepada Pusat Pemprosesan GST di Kelana Jaya, Selangor,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 73,882 penyata GST akan diterima daripada pemilik syarikat dan peniaga pada Jun manakala sebanyak 343,091 penyata GST diterima pada Julai ini.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata, penalti boleh dikenakan kepada mereka sekiranya ada kesalahan seperti sebarang kekurangan pada cukai bersih yang perlu dibayar oleh mereka.

“Kesalahan lain ialah tidak mengemukakan penyata GST, penyata GST dikemukakan dengan tiada atau kurang bayaran serta apa-apa bayaran balik yang dituntut secara tidak benar,” katanya.

Katanya, kaedah pembayaran GST juga boleh dilakukan melalui dalam talian atau kaunter bank serta secara manual.

Sementara itu, Alias berkata, dua individu iaitu seorang peniaga di Wilayah Persekutuan dan seorang pemborong di Pulau Pinang bakal berdepan dengan kompaun atas kesalahan tidak menjawab notis.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 8:24 AM