Oleh Mohd Rizal Abdullah

Kajang: Tidak punya pasport dan masuk ke negara ini secara haram. Namun segelintir pendatang tanpa izin ini mampu mempunyai perniagaan dan restoran besar di negara ini.

Perkara ini terbongkar hasil operasi Ops Selera Jabatan Imigresen Selangor bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 10 malam itu, empat premis makanan milik pendatang tanpa izin diperiksa.

Timbalan Penolong Pengarah 1 Jabatan Imigresen Selangor Johari Supardi berkata, 53 pekerja warga asing diperiksa sebelum 34 individu ditahan kerana tidak mempunyai dokumen sah memasuki negara ini.

Menurutnya, sebuah restoran yang diserbu itu adalah milik seorang pendatang haram dan sudah beroperasi sejak sekian lama.

“Kebanyakan warga asing Thailand dan Indonesia berusia antara 20 dan 40 tahun itu merayu dibebaskan. Malah, ada antaranya cuba menyogok kakitangan imigresen.

“Perkara itu serius kerana mereka bukan saja menceroboh negara ini, malah menjejaskan peniaga tempatan,” katanya.

Menurutnya, ada pekerja yang cuba melarikan diri namun gagal apabila kawasan itu dikepung imigresen.

Menurutnya, imigresen akan melakukan siasatan terperinci bagaimana warga asing tanpa permit itu boleh mempunyai perniagaan mereka sendiri.

“Semua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan di Semenyih untuk siasatan lanjut. Semua ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:35 AM