AZMAN Ibrahim (kanan) bertukar dokumen dengan MBSB Bank, Nor Hanim Ahmad Kushairi dan di saksikan Pengerusi TH Properties, Datin Kartini Abdul Manaf. FOTO Fathil Asri
AZMAN Ibrahim (kanan) bertukar dokumen dengan MBSB Bank, Nor Hanim Ahmad Kushairi dan di saksikan Pengerusi TH Properties, Datin Kartini Abdul Manaf. FOTO Fathil Asri
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: TH Properties Sdn Bhd (TH Prop) dan Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) bekerjasama membangunkan projek pembinaan bercampur bertingkat tinggi, Kota Semarak dilengkapi teknologi hijau pertama di bandar Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH Properties dan Pengarah 59 Inc, Azman Ibrahim berkata, ia dilaksanakan menerusi 59 Inc Sdn Bhd, syarikat usaha sama 70:30, antara TH Prop dan MRCB.

Katanya, projek ini akan memanfaatkan kepakaran kedua-dua pemain pembangunan dan pembinaan hartanah terkemuka ini untuk menyediakan kediaman bandar yang bukan sahaja menawarkan persekitaran hidup yang lebih hijau kepada pembeli, pada masa yang sama berkualiti dan mempunyai nilai harga terbaik.

"Projek ini terletak di atas tanah seluas 10.9 hektar di Jalan Sultan Yahya Petra atau sebelum ini dikenali sebagai Jalan Semarak dan akan dibangunkan dalam tiga fasa dengan GDV RM3 bilion, terdiri daripada komponen pangsapuri perkhidmatan, pejabat kedai dan pusat beli-belah.

"Bagi Fasa 1A sejumlah 1,226 unit pangsapuri perkhidmatan, termasuk 100 unit Projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), empat menara dan 87 unit pejabat kedai, dijangka siap dibina menjelang Februari 2027.

"Kami menyasarkan Kota Semarak sebagai batu loncatan rancangan jangka panjang untuk menyediakan persekitaran hidup yang lebih mesra alam dan lestari dalam projek akan datang.

"Kami menyedari kepentingan untuk meminimumkan jejak ekologi dan menyelaraskan amalan seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya berikutan pandemik Covid-19," katanya pada majlis pembukaan rasmi Kota Semarak Galleria dan pecah tanah Fasa 1 Kota Semarak di sini, hari ini.

Kota Semarak menawarkan reka bentuk kontemporari dan bersesuaian bagi unit yang mempunyai dua hingga empat bilik tidur, bersaiz antara 802 hingga 2,400 kaki persegi, dengan susun atur yang teliti untuk memaksimumkan akses kepada pemandangan panorama.

Selain ciri yang dicadangkan seperti stesen pengecas kenderaan elektrik, stesen skuter Beam, keselamatan pelbagai peringkat, sistem pengurusan sisa pepejal dan penuaian air hujan, pembeli hartanah Kota Semarak boleh menjangkakan kemudahan gaya hidup bandar dan infrastruktur yang komprehensif kerana lokasi pembangunannya yang strategik, iaitu hanya lima kilometer dari KLCC dan akses mudah ke lebuh raya Duke.

Pembeli juga boleh memanfaatkan persekitaran hijau dan Taman Rekreasi Ayer Panas yang berdekatan selain kemudahan seperti Taman KLCC, Kelab Golf Titiwangsa PDRM dan Lapangan Golf Setapak.

Pada majlis pembukaan rasmi galeri Kota Semarak itu, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TH Prop dan Bank Islam Malaysia Bhd untuk pembiayaan akhir dan bersama MBSB Bank Bhd untuk pembiayaan projek Kota Semarak.

Selain Kota Semarak, pembangunan lain oleh TH Prop termasuk Tierra di Bandar Warisan Puteri 2, Seremban; Techpark, The Villas, Hundred East dan Pristine 3 di Bandar Enstek, serta Pesisiran Residences di Kuantan, Pahang.

TH Prop ialah anak syarikat milik penuh Lembaga Tabung Haji dan pemain berpengalaman dalam industri yang sudah aktif sejak 1980 melalui penubuhan Syarikat Pembinaan dan Perumahan Tabung Haji Sdn Bhd.

Pada masa ini, bidang kepakaran utamanya ialah pembangunan hartanah, pembinaan dan pengurusan kemudahan.

Perbandaran terbesarnya buat masa kini adalah Bandar Enstek di Negeri Sembilan, seluas 2071.58 hektar dan terletak berhampiran KLIA dan KLIA2. Ia perbandaran matang dengan lebih 1,784 rumah yang sudah siap dan diserahkan kepada pemilik sejak pembinaannya pada 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 4:31 PM