Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meneruskan program penanaman semula pokok ‘Shah Alam Trees For Life 2015’ untuk pertama kalinya bagi tahun ini, semalam.

Program dilaksanakan bagi memberikan wajah baru dengan konsep teduhan hijau pada kawasan persekitaran serta membantu memulihara tanaman semulajadi di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program berkenaan baik untuk pemuliharaan alam sekitar, malah dapat memberi pendidikan alam sekitar pada masyarakat.

“Untuk program kali ini, sebanyak 1,500 batang anak pokok ditanam sepanjang 1.6 kilometer serta terdapat dua jenis pokok iaitu pokok Tecoma atau ‘Tabebuia Rosea’ dan pokok Kiara Payung atau ‘Felicium Decipiems’.

“Saya harap lebih banyak pembabitan daripada semua pihak seperti badan korporat dan syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) membantu dalam program ini selain dapat memberi galakkan kepada generasi muda masa kini.

“Selain itu, ia menggalakkan penyertaan secara sukarelawan oleh belia terutamanya penduduk masyarakat di sini sertai program penanaman semula pokok,” katanya ketika ditemui pada program yang diadakan di Jalan Monfort, Seksyen U2, di sini, semalam.

Ahmad Zaharin berkata, program turut mendapat sambutan dalam kalangan badan korporat, NGO, sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi kerajaan.

Menurutnya, kira-kira 300 peserta menyertai program penanaman semula itu daripada sukarelawan ECO Warriors, penuntut Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Universiti Selangor (UNISEL), kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta sukarelawan dari pelbagai NGO.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor Datuk Ir Hamizan Mohd Inzan, Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Roslan Darus dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan J C Jacobsen Henrik Juel Andersen.

Sementara itu, MBSA menerima sumbangan sebanyak RM45,000 daripada J C Jacobsen Foundation bagi membantu pembelian anak pokok untuk program penghijauan bandar raya ini.

Seramai 11,400 sukarelawan dan sebanyak 52,481 batang pokok ditanam sejak program penanaman semula pokok itu diperkenalkan bermula September 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2015 @ 5:14 AM