Recqueal Raimi


PEKERJA kaunter perkhidmatan di sebuah rumah penginapan di Poring, Ranau, cedera selepas diserang tiga lelaki berpakaian serba hitam, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa diserang ketika bekerja di premis terbabit menyebabkannya cedera di kepala, belakang badan, bahu serta muka.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Shahrul Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati tiga suspek berusia lingkungan 20-an terbabit memasuki rumah penginapan berkenaan sebelum berpura-pura mahu menyewa bilik.

“Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek tiba-tiba menumbuk dan menendang mangsa.

“Rakan mangsa yang menyedari kejadian membantu mangsa dengan memukul ketiga-tiga suspek menggunakan pemukul bola besbol jenis kayu sebelum suspek melarikan diri menggunakan kenderaan jenis Inokom Atos berwarna hijau muda,” katanya kepada NSTP.

Menurutnya, mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Ranau untuk pemeriksaan dan menerima rawatan pesakit luar.

“Setakat ini, identiti atau wajah suspek belum dikenal pasti disebabkan ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, nombor pendaftaran kereta dinaiki suspek sudah dikenal pasti dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran atau hubungi pegawai penyiasat di talian 088-875222,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 11:53 AM