ANGGOTA JPJ membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal, malam kelmarin.
ANGGOTA JPJ membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal, malam kelmarin.
Oleh Mohd Hasbi Sidek
hmetroshahalam@hmetro.com.my

Shah Alam: Sejumlah 124 saman dikeluarkan terhadap penunggang motosikal menerusi Op Khas Motosikal Tahun Baru Cina di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan di Plaza Tol PLUS Batu Tiga, di sini, malam kelmarin.

Operasi bersepadu mulai jam 8 malam dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu turut mendapati empat remaja positif dadah.

Ketua Bahagian Operasi JPJ Selangor Hasbullah Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dilakukan 40 anggota JPJ dibantu lima anggota polis dan lima pegawai ADDK.

“Op Khas Motosikal dilakukan serentak di seluruh negara sempena Tahun Baru Cina memfokuskan kesalahan membabitkan pengubahsuaian struktur kenderaan selain membendung gejala rempit yang membabitkan sebilangan besar golongan remaja.

“Dalam operasi berkenaan kami memeriksa 517 motosikal dan mendapati 98 daripadanya melakukan pelbagai kesalahan trafik seperti tiada lesen memandu dan tiada cukai jalan,” katanya di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, selain memberi tumpuan kepada kesalahan trafik, pihaknya mengesan penunggang di bawah pengaruh dadah, sekali gus boleh membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Empat remaja berusia 21 hingga 23 tahun itu didapati positif dadah jenis Methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut.

“Operasi empat jam itu berjaya mengesan 169 kesalahan dilakukan penunggang motosikal seperti tiada cermin sisi, melakukan pengubahsuaian ekzos serta kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Februari 2015 @ 7:22 AM