Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali dan Nor Amalina Alias

Bachok: Polis melumpuhkan kumpulan samun bersenjata dengan menahan dua anggotanya di Wakaf Mek Zainab, di sini, malam kelmarin.

Kumpulan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes rompakan wang tunai dan jongkong emas mencecah RM100,000 di sebuah kediaman di Kampung Dalam Rhu, Tumpat, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam kelmarin, anggota geng samun yang aktif di sini, Tumpat dan Machang itu dikesan di sebuah rumah di Kampung Paya Purnama, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini.

Bagaimanapun polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat melepaskan tembakan menyebabkan seorang suspek berusia 28 tahun cedera di paha kanan dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana cuba merempuh polis dengan Perodua Kembara.

Sebelum itu, suspek yang mempunyai tatu berbentuk bunga di bahu kiri dan rakannya berusia 39 tahun dikejar dari Kampung Paya Purnama ketika mereka cuba melarikan diri sebaik menyedari kediaman dikepung.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pegawai dan anggota menerima maklumat mengenai kegiatan kumpulan samun itu dan melakukan intipan di sebuah rumah di kampung itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 8:39 AM