RAHIM  (dua dari kiri) membuat pemeriksaan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2015 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Tesco Kepong, semalam.
RAHIM (dua dari kiri) membuat pemeriksaan skim kawalan harga musim perayaan Tahun Baru Cina 2015 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Tesco Kepong, semalam.

Kuala Lumpur: Harga ayam sempena Tahun Baru Cina minggu depan dijangka turun berbanding tahun sebelumnya manakala harga lima lagi barangan yang mendapat permintaan tinggi sempena perayaan itu iaitu bawang putih China, kubis bulat Indonesia dan China, bawal putih, udang putih besar dan daging babi pula kekal.

Setakat ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah memperkenalkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan membabitkan 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Labuan manakala tempoh kawalan adalah selama 12 hari bermula semalam hingga 25 Februari.

Tinjauan Timbalan Pengarah KPDNKK) Kuala Lumpur, Rosli Ahmad bersama Pengerusi Bersama Gerakan Pengguna Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Datuk Seri Rahim Baba di sebuah pasar raya, di sini, semalam turut mendapati kebanyakan peniaga menjual barangan kawalan lebih rendah daripada harga siling.

Menurut Rahim, penentuan harga siling dibuat di peringkat pengeluar, borong dan runcit dalam rantaian pengedaran di seluruh negara mengikut kewajaran dan kesesuaian.

“Harga barang yang tinggi sedikit berbanding tahun lalu ialah telur ayam gred A, B dan C berikutan pengeluaran dalam negara mengalami sedikit pengurangan dan gangguan berpunca daripada penyakit yang menjejaskan produktiviti ayam bertelur,” katanya pada majlis pengumuman penentuan harga maksimum barangan harga terkawal Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2015 bagi WPKL, di sini, semalam.

Beliau berkata, peniaga diwajibkan menjual barangan terkawal itu pada harga lebih rendah atau tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu bagi membezakannya dengan barangan lain.

“Mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 itu boleh didenda RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya atau kompaun sehingga RM50,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000,” katanya.

Orang ramai yang mendapati terdapat peniaga yang tidak mematuhi skim berkenaan bolehlah menyalurkan aduan kepada kementerian melalui talian 03-8000 8000 atau emel ke alamat [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:31 AM