MUHYIDDIN  mengangkat barang bantuan untuk dimasukkan ke dalam lori bagi Misi kedua Bantuan Kemanusiaan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
MUHYIDDIN mengangkat barang bantuan untuk dimasukkan ke dalam lori bagi Misi kedua Bantuan Kemanusiaan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Oleh Hairulazim Mahmud

Kuala Lumpur: “Sekarang adalah fasa paling sukar bagi mangsa banjir iaitu memulihkan kehidupan mereka seperti sedia kala,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehubungan itu, kerajaan akan menumpukan bantuan sepenuhnya kepada semua mangsa terbabit khususnya di Kelantan dengan kerjasama kerajaan negeri supaya mereka dapat bekerja dan berniaga dengan segera.

Beliau berkata, ia berikutan pada ketika ini sebahagian besar mangsa terbabit hilang punca pendapatan kerana kebanyakannya adalah peniaga.

“Yang berniaga, warung dan kedai sudah dibawa arus deras gelombang banjir dan kerajaan berusaha memulihkan situasi di sana supaya mereka dapat bekerja semula supaya dapat mengurangkan kesulitan hidup.

“Apa yang berlaku ini adalah sangat luar biasa seolah-olah tsunami. Paling utama sekarang ini adalah untuk pulihkan kehidupan mereka ini yang terjejas,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelepasan Konvoi Misi Kedua Bantuan Kemanusiaan Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Sebanyak RM5.3 juta berjaya dikumpulkan bagi membantu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.

Konvoi bantuan berkenaan membabitkan 250 sukarelawan dengan barangan keperluan termasuk dapur masak, tong gas, selimut, tikar plastik dan telekung masing-masing berjumlah 7,000 unit serta selipar dan bantal sebanyak 14,000 pasang untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri berkenaan menggunakan 42 buah lori.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara berkata, langkah segera sudah diambil kerajaan membaik pulih 10,000 rumah yang rosak di samping membina semula 3,000 kediaman yang dihanyutkan arus deras.

“Insya-Allah, Kerajaan Pusat bersama-sama kerajaan negeri dan badan korporat akan membantu membina serta membaiki rumah mangsa banjir serta badan politik seperti hari ini yang dilakukan UMNO Wilayah Persekutuan,” kata beliau.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan pelbagai pihak bagi meringankan beban mangsa banjir yang hampir mencecah 400,000 orang termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Badan Perhubungan UMNO negeri lain boleh mengikut jejak langkah UMNO Wilayah Persekutuan menghulurkan bantuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 9:36 AM