Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Kuala Lumpur: Pengusaha bas sekolah bebas menetapkan harga tambang bas dengan persetujuan ibu bapa dan sekolah, kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Dr Syed Hamid Syed Jaafar Albar.

Berikutan itu tegasnya, tidak perlu penetapan harga siling dilakukan.

“Sepatutnya, mereka (pengusaha) gembira sebab kita sudah bersetuju menghentikan peraturan penetapan harga siling tambang bas sekolah sebelum ini.

“Kenapa perlu lagi timbul isu harga siling sedangkan ketika penetapan itu ada, mereka langsung tidak patuh dan menaikkan harga sesuka hati.

“Kalau dulu (2009) Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) tetapkan kilometer (km) pertama di kawasan bandar adalah sebanyak RM27.43 dan RM2.02 untuk km seterusnya, tapi pengusaha naikkan kadar tambang 20 ke 30 peratus.

“Hari ini, mereka sudahpun kenakan caj yang tinggi, jadi kenapa masih mahu naikkan tambang? Sebab itu saya katakan soal tambang tak patut timbul lagi,” katanya.

Jelas Syed Hamid, alasan subsidi diesel tidak wajar dibangkitkan dalam isu harga tambang bas sekolah kerana kenaikan dibuat pengusaha sebelum ini tidak mengambil kira turun naik harga bahan api terbabit.

“Dalam hal ini, kami minta ibu bapa dan sekolah masuk campur. Kelompok ini perlu memanfaatkan kuasa pengguna untuk mempengaruhi harga pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:34 AM