Kuala Lumpur: Ahli Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) bersedia untuk membayar tuntutan terhadap kerugian yang dialami oleh mangsa banjir yang sedang berlaku sekarang.

PIAM dalam kenyataannya berkata, tuntutan itu akan membabitkan mereka yang membeli perlindungan banjir sebagai sebahagian daripada polisi insurans am mereka.

“Syarikat ahli PIAM akan memproses semua tuntutan banjir selagi banjir adalah bahaya yang diinsuranskan, tanpa mengira sama ada darurat diisytiharkan atau tidak.

“Polisi motor dan kebakaran standard tidak termasuk perlindungan terhadap kerugian yang disebabkan oleh bencana seperti gempa bumi, tsunami dan taufan. Bagaimanapun, perlindungan bagi kerugian atau kerosakan berkaitan banjir adalah pilihan dan boleh dibeli sebagai lanjutan kepada polis standard ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 6:15 AM