Antara mangsa mendapatkan rawatan kecemasan dipercayai terhidu gas kimia berbahaya di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Antara mangsa mendapatkan rawatan kecemasan dipercayai terhidu gas kimia berbahaya di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Bisnes HM


Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi jaminan bahawa semua 26 anggota syarikat sudah bersedia untuk membantu dan memberi perkhidmatan kepada mangsa-mangsa yang terjejas dalam kejadian lambakan toksik di Pasir Gudang, Johor.

PIAM dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, polisi perubatan yang standard akan meliputi kemasukan ke hospital dan rawatan perubatan.

"Pemegang polisi yang memerlukan rawatan perubatan akibat insiden itu boleh memfailkan tuntutan di bawah polisi perubatan masing-masing.

"Mengenai hartanah, biasanya polisi rumah dan isi rumah yang standard memberikan perlindungan kerugian fizikal atau kerosakan kepada harta benda, kecederaan tubuh badan dan nyawa," katanya.

Bagaimanapun, memandangkan keadaan setiap kes atau tuntutan adalah berbeza, PIAM menasihatkan pemegang polisi untuk menghubungi ejen atau syarikat insurans masing-masing bagi mendapatkan maklumat terperinci berkaitan liputan perlindungan mereka.

"Untuk maklumat orang ramai, tanpa mengira sama ada darurat diisytiharkan atau tidak, syarikat-syarikat yang menjadi anggota PIAM akan membayar pampasan pihak yang diinsuranskan selagi ia adalah suatu tuntutan yang sah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 7:03 PM