Kajang: Tidak puas hati ditegur sering mabuk dan biadab menyebabkan seorang remaja ‘kaki botol’ bertindak ganas membakar kereta ibu saudaranya.

Dalam kejadian jam 3 pagi kelmarin, suspek lelaki berusia 17 tahun membakar Proton Satria milik mangsa di Taman Cheras Mas di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa berusia 25 tahun itu meletakkan kenderaannya di kawasan letak kereta di flat berkenaan.

Menurutnya, suspek seringkali pergi ke rumah neneknya di flat itu dalam keadaan mabuk dan pernah meninggikan suara terhadap neneknya hingga menimbulkan rasa tidak puas hati bapa saudaranya.

“Ketika kejadian, ada jiran ternampak seorang lelaki menaiki motosikal datang ke kawasan rumah mangsa dengan membawa botol berisi minyak petrol.

“Suspek dipercayai membalas dendam disebabkan suami mangsa pernah menegurnya kerana sering datang ke rumah nenek dalam keadaan mabuk dan suka membuat bising,” katanya.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang dijalankan.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) kerana perbuatan khianat,” katanya.

Dalam satu lagi kes berasingan, seorang lelaki cedera di muka selepas dipukul dengan cota oleh empat lelaki yang melakukan samun di sebuah rumah kedai di Taman Kajang Utama di sini.

Ketika kejadian jam 4.10 pagi semalam, mangsa bersama tiga lagi rakan rumahnya sedang nyenyak tidur.

Ab Rashid berkata, suspek dipercayai masuk melalui pintu hadapan yang tidak berkunci dan terus meluru ke arah mangsa lalu memukulnya menggunakan cota sehingga bengkak di kepala.

“Suspek kemudiannya menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM3,000 serta merampas empat telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu sepasukan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang berjaya menahan dua suspek yang tinggal berasingan berhampiran kawasan itu jam 2 pagi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:43 AM