ORANG ramai dan rakan artis memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mustapha Maarof (gambar kecil).
ORANG ramai dan rakan artis memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Mustapha Maarof (gambar kecil).
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: “Emak meninggal dunia pada 14 Disember 1987. Semalam (kelmarin) genap 27 tahun Allahyarham meninggalkan kami.

“Hari ini (semalam) ayah pula meninggalkan kami buat selama-lamanya. Beliau berpesan minta dikebumikan sebelah kubur emak (Rose Yatimah) dan arwah bapanya yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Ampang,” kata Azlynna, 45, anak kedua Datuk Mustapha Maarof.

Seniman veteran itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju pada jam 8.35 pagi selepas dua minggu bertarung melawan penyakit paru-paru.

Mustapha atau nama sebenarnya Mustapha Azhari Maarof, 79, menerima rawatan terakhir di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu selepas dipindahkan dari Institut Perubatan Respiratori Jalan Pahang.

Selain Azlynna beliau meninggalkan dua lagi anak iaitu Suzlynna, 50, dan Mohd Rezainudden, 38, serta tujuh cucu.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Amru Ibni Al-As, Bandar Baru Sentul sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Ampang pada jam 2.15 petang.

Mohd Rezainudden berkata, Jumaat lalu doktor memanggil ahli keluarga mereka dan memberitahu kesihatan terkini bapanya yang semakin merosot.

“Kami reda dengan pemergian ayah kerana dia dua minggu koma, manakala, ubat yang diberikan pula tidak berkesan dan beliau hanya bergantung pada alat bantuan pernafasan.

“Sebelum ini, beliau pernah sebut teringatkan arwah emak. Saya berusia 11 tahun ketika emak meninggal dan selepas itu kami dibesarkan ayah sepenuhnya. Kami adik beradik bersyukur kerana dapat menjaga ayah dan membahagiakan dia semasa hayatnya,” katanya.

Pengebumian Allahyarham dihadiri ramai penggiat seni lama dan baru antaranya Datuk Maria Menado, Salmah Ahmad, Datuk DJ Dave, Pansha, Datuk Yusof Haslam, Datuk A Rahman Hassan, Raja Azmi dan Nabil Ahmad.

Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) Datuk Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Kamil Othman.

Yusof berkata, beliau kerap berbual dengan arwah dan sebelum sakit dia meluahkan harapan agar persatuan artis bersatu.

“Walaupun tiada jawatan dalam SENIMAN beliau prihatin dengan persatuan artis dan nak sangat lihat semua mereka bersatu.

“Ketika bergelar Presiden SENIMAN dulu, jasanya yang paling besar membawa masuk dana melebihi RM1 juta dalam tabung persatuan dan ini sesuatu yang membanggakan.

“Beliau menggunakan hubungan baiknya dengan Menteri Penerangan bagi mendapatkan slot drama TV untuk ahli,” katanya.

DJ Dave menyifatkan Allahyarham seorang jujur dan ikhlas dalam perjuangannya sebagai anak seni.

“Beliau adalah wira tidak didendang yang terakhir dalam industri kerana jasanya dalam industri perfileman tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 10:58 AM