Sudirman Mohd Tahir


PRESIDEN Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham Saleem atau nama sebenarnya AM Saleem Abdul Majeed sebagai satu kehilangan besar bagi industri seni tanah air.

Dave berkata, Saleem adalah seorang penyanyi yang unik dan sukar dicari ganti.

“Saleem sememangnya seorang penyanyi yang sukar dicari ganti. Dia seorang penyanyi yang unik.

“Dia boleh menyanyi dengan baik sama ada secara langsung dan dalam studio. Pemergiannya satu kehilangan besar bagi industri seni tanah air,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Dave, arwah sempat menunjukkan tindak balas baik ketika melawatnya di Hospital Kajang sebelum dimasukkan semula ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“Ketika saya berjumpa arwah selepas sehari dia dimasukkan ke Hospital Kajang. Ketika itu dia menunjukkan tindak balas yang baik.

“Kemudian saya juga ada melawat dia di PPUKM tapi ketika itu dia tidak sedar. Sehinggalah pagi tadi (hari ini) saya diberitahu dia sudah meninggalkan kita,” katanya.

Sementara itu, Presiden Karyawan Datuk Freddie Fernandez berharap anak arwah iaitu Syafiq Farhain dapat meneruskan legasi arwah bapanya.

“Kita kehilangan seorang lagi legenda. Saleem seorang penyanyi yang bukan saja popular di sini, tapi juga di luar negara.

“Lagu-lagunya menjadi siulan di Indonesia. Tambah dengan suaranya yang unik, Saleem memang tiada pengganti.

“Saya harap anak arwah dapat meneruskan legasi Saleem. Terima kasih Saleem atas sumbangan dan jasanya kepada industri seni tanah air,” katanya.

Terdahulu, Saleem menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) jam 6.15 pagi hari ini.

Penyanyi berusia 57 itu sebelum ini terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu. Kemalangan itu mengakibatkan tulang rusuknya patah serta berada dalam keadaan koma.

Jenazah Allahyarham dibawa ke Surau As Syakirin, Bandar Mahkota Cheras untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cheras Perdana selepas solat Zohor.

Selain Dave dan Freddie, antara rakan artis yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir adalah Ajai, Yantzen, Lan Solo, Salwa Abdul Rahman, Tomok, Farhan, Ifa Raziah, Datuk Hattan, Zamani, Ameng, Johan As’ari dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Oktober 2018 @ 6:21 PM