Paya Linda Yahya


Gua Musang: Demi memastikan anak bangsanya tidak keciciran dalam arus pendidikan, seorang guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) cekal berbakti mendidik anak-anak Orang Asli di Pos Hendrop, di sini.

Robiah Rami, 42, yang berketurunan suku Temiar berpengalaman mengajar kanak-kanak Orang Asli sejak 17 tahun lalu di Tabika Pos Hendrop.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ditempatkan di tabika berkenaan dan dapat mencurah bakti untuk mendidik anak bangsanya sendiri sebelum mereka melangkah ke sekolah rendah.

"Alhamdulillah, saya berpeluang mendidik anak bangsa sendiri seawal usia mereka empat tahun. Lebih membanggakan apabila melihat mereka memasuki darjah satu sudah boleh mengenal huruf dan membaca.

"Sepanjang bertugas di sini, saya dapat melihat perubahan anak murid yang meningkat dewasa dan ada yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pendidikan atau universiti awam," katanya.

Robiah berkata demikian ketika ditemui di program Hari Aspresiasi dan Amanat Ketua Pengarah Bersama Kakitangan Kemas Gua Musang, di sini, semalam.

Robiah berkata, dia berjaya mendidik lebih 300 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun di kampung berkenaan sejak 17 tahun lalu.

"Bagi menarik minat, saya turut menggunakan bahasa suku kaum Temiar selain memberi kefahaman kepada mereka. Selain itu, kanak-kanak Orang Asli meminati pelajaran yang mempunyai aktiviti asas seperti pendidikan muzik dan seni.

"Bagi kanak-kanak Orang Asli, kita harus mengajar mereka secara santai seperti bermain dan menyanyi selain menyelitkan unsur jenaka bagi menarik minat mereka," katanya.

Dia juga bersyukur apabila ibu bapa Orang Asli semakin menyedari kepentingan pendidikan awal dan menghantar anak mereka ke tabika.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2023 @ 1:32 PM
Robiah sedang menguruskan murid-muridnya sebelum persembahan pada Program Hari Aspresiasi dan Amanat Ketua Pengarah Bersama Kakitangan Kemas daerah Gua Musang, di Dewan KPTM-Kesedar di Taman Etnobotani, di sini semalam. FOTO Paya Linda Yahya
Robiah sedang menguruskan murid-muridnya sebelum persembahan pada Program Hari Aspresiasi dan Amanat Ketua Pengarah Bersama Kakitangan Kemas daerah Gua Musang, di Dewan KPTM-Kesedar di Taman Etnobotani, di sini semalam. FOTO Paya Linda Yahya