Nurul Hidayah Bahaudin


Kajang: Air mata tiga ahli keluarga penjual keropok lekor mengiringi keputusan Mahkamah Majistret di sini, hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan selain pengawasan selama dua tahun ke atas lelaki itu.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memutuskan hukuman demikian selepas tertuduh, Samsuri Elias, 44, mengaku bersalah atas tiga tuduhan iaitu menghalang tugas dan mencederakan anggota polis serta mengambil dadah.

Samsuri dihukum penjara masing-masing enam bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua, manakala penjara tiga bulan dan dalam pengawasan selama dua tahun bagi pertuduhan ketiga.

Mahkamah membenarkan hukuman penjara berlangsung serentak bagi pertuduhan pertama dan kedua, kemudian disusuli hukuman bagi pertuduhan ketiga. Tarikh hukuman bermula hari ini.

Sebaik hukuman itu diputuskan, kelihatan tiga ahli keluarga tertuduh yang berada di galeri awam menangis.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa sengaja enggan memberi kerjasama kepada anggota polis, Raja Mohd Ali Omar Akasyah Raja Sulaiman di tempat letak kereta Taman Sri Reko di sini, pada 11.30 malam, 30 November lalu dengan kesalahan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh sengaja menyebabkan cedera terhadap anggota polis, Mohd Haslizan Hashim pada waktu dan lokasi sama, yang mana kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan ketiga, Samsuri didakwa memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 3.30 pagi, 7 Februari 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda sehingga RM5,000 serta pengawasan tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

Berdasarkan fakta kes, dua anggota polis itu bertugas melakukan rondaan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) membuat pemeriksaan terhadap sebuah Proton Saga Iswara di lokasi kejadian, namun pemandunya iaitu tertuduh bertindak memecut laju kenderaan, lalu melanggar Mohd Haslizan hingga mengakibatkan kecederaan.

Tertuduh juga melarikan diri sebaik kejadian.

Terdahulu, Samsuri dalam rayuannya memohon hukuman ringan mengambil kira dia sudah insaf dengan perbuatan itu serta perlu menyara isteri dan dua anak dengan pendapatan menjual keropok lekor sekitar RM900 sebulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran terhadap tertuduh yang bertindak menghalang tugas penjawat awam selain mempunyai rekod dikehendaki bagi kes dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:08 PM
Samsuri (tengah) dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dn pengawasan selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Samsuri (tengah) dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dn pengawasan selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret Kajang, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.