Petaling Jaya: Seorang pengusaha pusat kecantikan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan menghalang anggota polis daripada menjalankan tugas di Lebuhraya Persekutuan Seapark, di sini, Isnin lalu.

Tertuduh, Qaireen Abdullah, 43, mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa sengaja menghalang Lans Koperal Hilarus Malijin daripada menjalankan tugas awamnya jam 6.05 petang 13 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau denda RM1,000 atau keduanya sekali, jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Tharuma Ratnam memohon wang jaminan rendah.

Mahkamah membenarkan wang jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei ini sebagai sebutan semula.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penoreh getah didenda RM900 atas pertuduhan mencuri dua besi perancah binaan bernilai RM300 di tapak pembinaan di Damansara Perdana di sini, dua hari lalu.

Tertuduh, Shah Hidi Shariff, 27, yang juga Orang Asli itu dijatuhkan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 20 hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di Tapak Pembinaan Mahmood Empire MK Land, Damansara Perdana di sini pada jam 7.55 malam.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia berbuat demikian berikutan tiada duit untuk membeli air selain itu adalah kesalahan pertamanya.

Kedua-dua kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:42 AM