N00R Mohamed menunjukkan modul digunakan Millah Abraham.
N00R Mohamed menunjukkan modul digunakan Millah Abraham.

Kuala Lumpur: Pemimpin Millah Abraham dikesan menggunakan satu modul khas atau Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika mereka menyampaikan ceramah atau taklimat berhubung ajaran itu.

Di dalam modul itu mengandungi enam pecahan, termasuk butiran peribadi ahli, konsep pengabdian, pengenalan kepada ajaran terbabit dan kesimpulan keseluruhan sesebuah sesi serta seseorang pengikut itu dikatakan akan terpengaruh untuk menyertai ajaran berkenaan kononnya demi menegakkan negara sejahtera.

Mendedahkan perkara itu, jurucakap Persatuan Penyebaran Islam Antarabangsa Malaysia (IPSI) Noor Mohamed Mohd Yousuf yang melakukan kajian terhadap ajaran mendapati, SOP berkenaan digunakan pada setiap sesi bersama pengikut sejak lebih setahun lalu.

Katanya, pada peringkat permulaan, mereka akan mencari prospek berpotensi mempunyai latar belakang agama dan ekonomi kukuh sebelum menarik mereka menyertai ajaran itu.

“Pemimpin ajaran ini akan menggunakan modul berkenaan bagi memujuk individu dikehendaki menyertai ajaran baru itu.

“Dalam tempoh beberapa bulan, ahli baru akan direkrut untuk mengikuti beberapa siri taklimat bermula dari kumpulan kecil hingga ahli kumpulannya bertambah. Setiap mereka ini ada sasaran sendiri untuk dicapai dan ia perlu disertakan di dalam laporan bulanan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai susulan penahanan 22 pengikut ajaran Millah Abraham oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI), Isnin lalu.

Menurutnya, semua dokumen berkenaan diserahkan seorang ahli keluarga kepada pengikut terbabit baru-baru ini.

Katanya, kajian dilakukan selama ini turut mendapati modul sama digunakan untuk menarik seramai mungkin ahli baru menyertai Millah Abraham dan sampai ke satu peringkat, kumpulan ini akan berhijrah beramai-ramai ke negara jiran dipercayai pusat ajaran sesat itu diasaskan.

“Mereka ini adalah kumpulan yang begitu teliti, tersusun dan bersistematik. Menggunakan kod tertentu, mereka juga mempunyai rekod ahli, termasuk jumlah duit keluar masuk menggunakan sebuah syarikat berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Saya percaya, pada masa ini mereka mempertimbangkan untuk berhijrah kerana kegiatan mereka sudah dihidu pihak berkuasa agama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 5:10 AM