Muhammad Sabtu
Muhammad Sabtu
myMetro

Kuching: Polis Sarawak sedang memantau pergerakan kumpulan Millah Abraham yang mula bertapak di negeri ini terutamanya di Daerah Simunjan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman ketika dihubungi berkata, polis mengesahkan kewujudan kumpulan Millah Abraham dan cubaan mereka bertapak di negeri itu.

“Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mempunyai maklumat berkaitan kumpulan ini, rancangan dan aktiviti mereka yang sudah diserahkan laporannya kepada Bukit Aman.

“Kami akan pantau lagi pergerakan mereka untuk tindakan selanjutnya. Saya tidak boleh dedahkan apa tindakan yang bakal diambil, tetapi yang pasti polis tidak akan sekali-kali membenarkan anasir luar mengganggu keamanan negara khususnya Sarawak,” katanya.

Kelmarin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial (E2) Bukit Aman, Datuk Awaludin Jadid berkata, siasatan polis mendapati beberapa kawasan di negeri itu dianggap pengikut ajaran sesat itu sebagai tanah harapan atau ‘promised land’.

Awaludin turut mengesahkan pengikut ajaran Millah Abraham membeli sebidang tanah di Daerah Simunjan untuk dijadikan pusat pemerintahan negara yang ingin mereka dirikan.

Malah, pemeriksaan dengan pejabat tanah daerah mendapati tanah berkenaan dijual kepada ahli kumpulan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2016 @ 10:24 AM