WAKIL PPMM, Azman Rashid menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung pendedahan pelakon mengenai ajaran sesat Millah Abraham. FOTO Ihsan PPMM.
WAKIL PPMM, Azman Rashid menunjukkan laporan polis yang dibuatnya berhubung pendedahan pelakon mengenai ajaran sesat Millah Abraham. FOTO Ihsan PPMM.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Shah Alam: Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan susulan pendedahan pelakon yang mendakwa pengikut ajaran sesat yang kini kembali aktif.

Presidennya Mohd Afiq Salim berkata, pihaknya turut membuat laporan polis kerana bimbang sekiranya ajaran sesat, Millah Abraham itu benar-benar aktif.

"Ajaran Millah Abraham yang didakwa kembali aktif akan mengancam akidah umat Islam dan keselamatan negara kerana pengaruh ajaran ini didakwa berasal dari negara jiran yang agak ekstrim.

"Pendedahan turut mendakwa membabitkan seorang pengikut ajaran sesat berkenaan yang bekerja sebagai juruterbang, iaitu suatu pekerjaan berisiko tinggi terhadap orang awam jika kumpulan ini melakukan tindakan luar jangka," katanya.

Mohd Afiq berkata, pelakon terbabit turut mendedahkan terdapat orang kenamaan yang berkedudukan dalam pentadbiran negara sebagai pengikut ajaran itu.

"Susulan itu kami mendesak pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi agama Islam dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan berhubung pendedahan ini yang disifatkan mempunyai kepentingan umum.

"Juga perlu didedahkan sejauh mana kebenarannya sekali gus mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak berkaitan.

"Tindakan perlu dilakukan demi menjaga kesucian agama Islam daripada fahaman menyeleweng yang menyesatkan dan menjamin keselamatan negara," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial apabila pelakon lelaki membuat pengakuan berani menerusi siaran langsung di Facebook miliknya, memberitahu dirinya salah seorang pengikut ajaran sesat, Millah Abraham.

Dalam video berkenaan, pelakon itu memberitahu dia sanggup memberi keterangan kepada badan kerajaan seperti pihak polis dan jabatan agama, malah turut mendakwa dia menyertai ajaran berkenaan kerana seorang wanita yang kemudiannya menjadi kekasihnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:08 PM