DR Hilmi (kiri) sedang memperbetulkan pelekat paip getah seorang penderma darah di Kem I Want Sihat.
DR Hilmi (kiri) sedang memperbetulkan pelekat paip getah seorang penderma darah di Kem I Want Sihat.

Kepala Batas: Kementerian Kesihatan akan menambah bilangan pakar psikiatri untuk memberi rawatan secara eksklusif kepada penduduk yang menghidap penyakit mental di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, bilangan pakar psikiatri sedia ada masih tidak mencukupi untuk memberikan rawatan kepada 28 juta penduduk Malaysia.

Menurutnya, kementerian kini dalam usaha mensasarkan nisbah satu pakar psikiatri untuk merawat 50,000 pesakit berbanding sekarang iaitu satu pakar merawat 150,000 pesakit.

“Setakat ini, kita hanya mempunyai 300 pakar psikiatri dan satu pakar terpaksa merawat 150,000 pesakit.

“Oleh itu, dalam usaha menambah bilangan pakar dengan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang berhasrat menjadi pakar psikiatri sekali gus meningkatkan bilangan sedia ada selepas tamat pengajian,” katanya selepas merasmikan ‘Kem I Want Sihat’ sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, semalam.

Menurutnya, jumlah individu yang menghidap penyakit mental di negara ini dijangka bertambah pada setiap tahun berdasarkan faktor tekanan hidup, pekerjaan, ekonomi dan rumah tangga.

“Kajian kesihatan dan angka kebangsaan pada 2006 mencatatkan individu yang mengalami masalah mental ialah 11.2 peratus bagi orang dewasa manakala 20.3 peratus bagi kanak-kanak dan remaja.

“Kita menjangkakan pertambahan ini akan berlaku dan perlu bersiap sedia untuk merawat pesakit ini supaya ia tidak membahayakan orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Oktober 2014 @ 5:09 AM