Seremban: Jumlah pesakit kemurungan yang mendapatkan perkhidmatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) di sini, meningkat setiap tahun.

Timbalan Pengarah Perubatan HTJS, Dr Norizah Abd Ghani berkata, pesakit tidak hanya dalam kalangan warga emas berusia 50 tahun ke atas malah turut membabitkan remaja dan kanak-kanak.

Katanya, antara faktor yang menyebabkan jumlah pesakit meningkat disebabkan masyarakat mempunyai kesedaran mendapatkan rawatan awal.

“Selain itu masalah remaja, perubahan persekitaran dan kewangan turut menjadi punca meningkatnya bilangan pesakit ini.

“Antara tanda ketara penyakit ini adalah sedih berpanjangan, mengasingkan diri, hilang tumpuan terhadap aktiviti harian, gangguan tidur atau terlebih selera makan,” katanya selepas merasmikan program Ceria Tanpa Kemurungan di sebuah pusat beli-belah di sini, semalam.

Program anjuran Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, HTJS itu mendapat kerjasama Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) dan Badan Kebajikan Psikiatri.

Norizah berkata, Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendapati seramai 340,000 atau 1.8 peratus orang dewasa di negara ini, menghidap kemurungan manakala 320,000 (1.4 peratus) menghidap keresahan.

Katanya, golongan wanita lebih cenderung menghidap penyakit itu hampir dua kali ganda iaitu 2.3 peratus berbanding lelaki.

“Kajian beban penyakit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula meramalkan pada 2020 kemurungan menjadi penyakit kedua teratas selepas jantung,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan mengambil beberapa langkah mempromosikan kesihatan mental di kalangan masyarakat termasuk menubuhkan Pusat Kesihatan Mental di setiap negeri serta meningkatkan program saringan di klinik kesihatan.

“Program diadakan hari ini (semalam), bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesedaran mental, mengetahui tanda awal penyakit, cara mengatasinya dan jenis rawatan yang disediakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:07 AM