Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Negara masih memerlukan 900 psikiatri bagi menampung keperluan nisbah dan standard keperluan antarabangsa iaitu seorang pakar bagi 50,000 penduduk.

Buat masa ini, Malaysia hanya mempunyai 300 pakar psikiatri yang berkhidmat di seluruh negara yang mewakili keperluan 150,000 penduduk bagi satu pakar.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pihaknya akui jumlah pakar itu masih tidak mencukupi jika mahu dibandingkan dengan jumlah penduduk, selain menepati keperluan standard antarabangsa.

Namun, katanya, Kementerian Kesihatan merangka perancangan untuk menambah jumlah pakar dalam bidang berkenaan dari semasa ke semasa.

"Kami menyedari keperluan menyediakan pakar berkenaan malah ia perlu diwujudkan dengan segera memandangkan jumlah pesakit mental di negara ini yang semakin bertambah," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesihatan Mental ASEAN 2014 di sini, semalam.

Kempen yang dilaksanakan sejak 2011 dalam kalangan negara ASEAN bertujuan mempromosikan, mendidik serta meningkatkan kesedaran masyarakat di rantau yang terbabit mengenai kepentingan menjaga kesihatan mental.

Katanya, pihaknya juga mendekati pelajar perubatan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi mendedahkan mereka kepada skop kepakaran kesihatan mental bagi menarik pelajar menceburi bidang kepakaran itu.

Dr Subramaniam berkata, kesihatan mental adalah isu penting buat negara terutama bagi Kementerian Kesihatan memandangkan jumlah kes pesakit mental mulai meningkat saban tahun.

Menurutnya, Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan 2011 mendedahkan 1.8 peratus penduduk dewasa di negara ini atau 340,000 orang menghadapi kemurungan dan pelbagai masalah kesihatan mental.

"Malah, apa yang membimbangkan semua individu berkenaan tidak pernah menerima rawatan kesihatan mental di hospital.

Kajian sama juga menunjukkan kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun juga dikesan terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan mental di negara ini.

"Kajian menunjukkan satu daripada lima kanak-kanak (lima hingga 15 tahun) mengalami masalah kesihatan mental," katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan memastikan bidang kesihatan mental akan diserap sebagai kesihatan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Oktober 2014 @ 5:05 AM