MAZLAN menunjukkan senapang dan peluru hidup yang dicuri geng Ah Leong.
MAZLAN menunjukkan senapang dan peluru hidup yang dicuri geng Ah Leong.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Gemar meracun mati anjing milik penghuni kediaman sebelum melakukan jenayah pecah rumah.

Itu antara taktik popular digunakan penjenayah geng Ah Leong yang dikesan melarikan sepucuk senapang dan 186 butir peluru dari kediaman dipecah masuk baru-baru ini.

Penjenayah terancang membabitkan tujuh individu itu dikesan bergerak aktif sejak September lalu dengan menyasarkan rumah mewah tanpa penghuni pada waktu bekerja antara jam 8 pagi hingga 5 petang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, penjenayah dikesan bergerak menggunakan dua kereta model Proton Waja dan Proton Wira.

Menurutnya, penjenayah melakukan pecah rumah selepas membuat tinjauan pergerakan penghuni rumah.

“Mereka kemudian memberi racun kepada anjing peliharaan di rumah berkenaan bagi melancarkan kegiatan mereka.

“Bagaimanapun, semua ahli kumpulan itu berjaya ditumpaskan selepas mereka ditahan di empat lokasi di sekitar Kajang dan Cheras di sini, Jumaat lalu,” katanya.

Beliau berkata, Geng Ah Leong sebelum itu dikesan memecah masuk sebuah rumah di Cheras awal bulan lalu sebelum membawa lari selaras senapang bersama 186 peluru hidup.

“Malah, dalam kejadian itu, penjenayah turut membunuh seekor anjing milik mangsa jenis Pit Bull dengan cara memberi racun.

“Bertindak atas maklumat, pihak Ibu Pejabat Daerah (IPD) Cheras menubuhkan pasukan khas untuk mengesan kumpulan itu sebelum semua suspek berjaya ditahan,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 4:17 AM