BALL Phyton adalah spesis ular yang mudah dijaga.
BALL Phyton adalah spesis ular yang mudah dijaga.
Hafiz Ithnin


Sejak kecil lagi ibu kepada dua cahaya mata ini begitu gemarkan haiwan eksotik terutama daripada spesis reptilia untuk dipelihara.

Meskipun pada perspektif sesetengah individu, menjadikan reptilia sebagai haiwan kesayangan adalah sesuatu yang menggelikan tetapi tidak kepada pemilik Ball Phyton (ular sawa batik) ini.

Bagi Norhafiza Mohd Zukepeli, 38, ramai yang menganggap reptilia adalah binatang yang ganas dan mudah menyerang manusia.

Malah ramai juga dihantui dengan kisah ular sawa yang memakan manusia. Sehingga ramai yang merasakan bahawa ular sawa adalah binatang yang patut digeruni.

Walaupun pendapat itu ada betulnya, namun ia tidak tepat dan jika tiada pengetahuan berkenaan karakter sebenar haiwan berkenaan, ramai akan menyalah anggap kepada binatang yang sebenarnya terkenal dengan gelaran 'gentle giant' itu.

Norhafiza berkata, sebenarnya terdapat pelbagai spesis reptilia yang diperlihara ramai lagi pemilik haiwan eksotik di Malaysia ini. Seperti haiwan peliharaan lain, ia mempunyai karakter tersendiri termasuk ular Ball Python yang dimilikinya sejak 2020.

Dengan mengenali karekter haiwan peliharaan mereka, pemilik lebih mudah mengendalikannya.

Jelasnya, dia membeli Ball Python ball betina itu pada RM1,200 ketika berusia tiga bulan. Haiwan kesayangannya diberikan nama sebagai Batek Ghost.

"Reptilia seperti ular ini sebenarnya sama seperti haiwan kesayangan lain di mana pemilik dan haiwan itu perlu mempunyai kepercayaan antara satu sama lain.

MEMBERI pendedahan kepada anak mengenai penjagaan ular Ball Pyhton.
MEMBERI pendedahan kepada anak mengenai penjagaan ular Ball Pyhton.

"Kepercayaan itu dibina dengan cara kita mengendalikannya seperti memegang dengan baik dan dengan menunjukkan kasih sayang, contohnya dengan berkomunikasi dengan haiwan itu.

Dengan adanya hubungan baik dan saling mengenali ini, pemilik akan dapat mengagak waktu yang baik untuk di pegang atau sebaliknya. Dengan adanya kefahaman ini, ia tidak akan menyerang kita" katanya.

Jelasnya lagi, haiwan itu juga mempunyai jangka hayat yang lama iaitu antara 20 hingga 40 tahun jika dipelihara dengan baik.

"Selain itu, penjagaannya juga tidak begitu sukar memandangkan ia hanya memerlukan makan seminggu sekali dan kebiasaannya tikus menjadi hidangan utama.

"Saya juga amat menitik beratkan diet haiwan itu dan walaupun ia memakan tikus, terdapat jenis tikus tertentu dimakan yang mempunyai protein tinggi. Khasiat protein ini penting bagi memastikan keadaan kulitnya cantik dan haiwan ini sihat," katanya.

Katanya, memiliki Ball Python juga membantunya memahami psikologi yang terdapat kepada haiwan iaitu cara untuk melindungi diri jika terancam.

BALL Phyton akan bergerak bebas jika merasa tidak terancam.
BALL Phyton akan bergerak bebas jika merasa tidak terancam.

"Saya sebagai seorang yang meminati bidang psikologi, suka untuk mendalami sifat melindungi diri yang ada kepada haiwan ini dan sebenarnya sifat ini tidak jauh bezanya dengan sifat manusia terutama dalam keadaan terancam.

"Jika terancam, haiwan reptilia akan bertindak melindungi diri sama ada dengan menyerang, melarikan diri ataupun dengan mengakukan diri. Respon-respon yang sama juga berlaku terhadap manusia jika merasa tertekan atau pun sedang mengalami waktu kecemasan," katanya.

Jelasnya, Ball Phyton mempunyai sifat melindungi diri apabila terancam iaitu dengan 'menggulungkan' diri menjadi bulat seakan bola jika terasa terancam.

"Ketika berhadapan dengan haiwan ini, saya secara langsung dapat mempelajari cara ia bertindak dan daripada sini dapat membina kepercayaan dengan melihat gerak geri dan juga bahasa badan haiwan itu.

"Terdapat pelbagai reaksi yang menunjukkan bahawa ular sawa 'bola' saya ini adalah dalam keadaan tekanan ataupun tidak sihat, selain daripada menggulungkan dirinya.

Contoh lain adalah jika ular sawa ini tidak mahu makan kadang-kala sehingga sebulan atau lebih, ataupun keadaan kulit bersalin yang tidak sekata menjadi tanda bahawa ular itu dalam keadaan tekanan.

Katanya, jika berlaku keadaan itu, pemilik perlu untuk mengubah beberapa perkara seperti menilai kesesuain kandang sama ada terlalu bising, tiada tempat untuk binatang berlindung daripada dilihat atau keadaan suhu yang tidak sesuai.

"Jadi, kita perlu berusaha untuk lebih memberi perhatian terhadap persekitaran haiwan itu bagi menjaga kesihatan fizikal dan juga emosinya, secara tidak langsung membina hubungan yang baik antara pemilik dan haiwan kesayangan" katanya.

Katanya lagi, ilmu adalah perkara penting untuk penjagaan haiwan kerana ia membantu untuk merapatkan hubungan dan menjadikan haiwan itu merasa selesa dengan pemiliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 6:21 AM