PELBAGAI rupa dan motif ular.
PELBAGAI rupa dan motif ular.
Nurul Husna Mahmud


TULAR baru-baru ini ketika orang sibuk menjual kuih raya, tapi Nur Nina Farisha Woo Abdullah, 26, sibuk pula memasarkan ular sawa bola atau 'ball phyton' dalam talian.

Video Nur Nina yang tampil bersama puluhan bekas plastik bersusun dan yang biasanya digunakan sebagai pek kuih dan kek itu mengundang perhatian netizen apabila terdapat plot 'twist' mengejutkan apabila bekas berkenaan mengandungi haiwan eksotik untuk dijual.

Kata Nur Nina, video itu yang tular di Facebook terlebih dahulu turut mengundang lebih ramai pengikut (follower) dari 1,000 naik mendadak kepada 20 ribu di platform itu.

"Sebenarnya video jualan ular sawa baka ball phyton adalah rutin saya dan suami sejak 2016. Hobi atau minat saya terhadap haiwan eksotik mula bercambah selepas saya berkahwin dengan suami, Mohamad Zulaiman Din, 26.

"Beliau peniaga haiwan peliharaan dan reptilia termasuklah ular sawa bola antara koleksi haiwan kami ada.

"Saya mengambil inisiatif untuk bersiaran di platform media sosial 'brotherhood reptiles' kerana mahu popularkan haiwan reptilia sebagai haiwan peliharaan.

"Jadi video saya bersama bekas bersusun ular sawa bola antara yang mendapat reaksi positif ramai orang.

VIRAL apabila ramai tidak menyangka Nina menjual ular.
VIRAL apabila ramai tidak menyangka Nina menjual ular.

"Malah 'pengikut' di laman sosial seperti TikTok juga meningkat ke angka 175 ribu kerana mereka tertarik dengan aksi saya bersama ular berkenaan. Jumlah tontonan jika digabungkan semua platform pula mencecah juta, " katanya.

Menjelaskan reaksi diterima daripada netizen, kata wanita itu, rata-rata menyokong dan teruja melihat ular dalam bekas plastik terbabit.

"Ramai yang tidak sangka ular sawa bola memiliki warna sedemikian. Kombinasi warna terang dan menarik berbeza keadaannya dengan ular batik tempatan.

"Tidak hairanlan sekilas pandang, ular sawa bola melingkar dalam bekas plastik tampak seperti kek," katanya.

Menyentuh harga ular sawa bola dijual kata Nur Nina, nilai spesies itu boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

"Saya pernah jual ular ini sekitar RM30,000 dan bagi mereka yang tidak 'bermain' dengan ular, angka itu terlalu besar.

"Sebenarnya bagi pasaran ular, ada perminat dan pemainnya bagi pengumpul koleksi mereka bersedia berbelanja asalkan dapat spesies jarang jumpa.

"Selain itu, jualan ular juga bermusim. Ada ketika ia datang dalam jumlah yang banyak (seperti dalam video ) dan juga sedikit pada waktu lain,' katanya.

Jualan ular sawa bola juga memerlukan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN).

ULAR sawa batik berbeza daripada spesies ular sawa dijual Nur Nina.
ULAR sawa batik berbeza daripada spesies ular sawa dijual Nur Nina.

"Untuk reptilia terutama ular, ada spesies yang memerlukan permit memelihara atau menyimpan. Mereka boleh memohon permit daripada PERHILITAN," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2023 @ 6:08 AM