SEBAHAGIAN daripada 295 haiwan pelbagai spesies dirampas daripada seorang lelaki di sebuah kondominium di Jelutong. FOTO ihsan PERHILITAN
SEBAHAGIAN daripada 295 haiwan pelbagai spesies dirampas daripada seorang lelaki di sebuah kondominium di Jelutong. FOTO ihsan PERHILITAN
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Tindakan seorang lelaki menjual beberapa spesies haiwan secara dalam talian tanpa lesen membawa padah apabila dikesan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pulau Pinang.

Kegiatan lelaki berusia 28 tahun itu dibongkar menerusi serbuan dijalankan di sebuah kondominium di Jelutong, pada 10.30 malam 3 September lalu.

Pengarah Perhilitan negeri, Saat Yaakob berkata, serbuan itu membawa kepada penemuan 295 haiwan pelbagai spesies dianggarkan bernilai RM142,000.

"Lelaki itu dipercayai menjual haiwan tanpa lesen sejak setahun lalu dan dia mempunyai kepakaran membiakkan tarantula daripada spesies diperolehnya.

"Dia mendapat spesies haiwan itu daripada pasaran gelap dalam kalangan mereka untuk dijual sesama mereka, pemilik kedai haiwan serta pencinta haiwan berkenaan," katanya, hari ini.

Beliau berkata, antara haiwan dirampas ialah 255 pelbagai spesies tarantula, spesies marin (8) dan 10 kala jengking jenis Asian Forest serta ular sawa Ball Python.

Menurutnya, selain itu Chinchilla jenis ekor panjang (6), pelbagai spesies katak (4) dan masing-masing satu burung Umbrella Cockatoo dan Moluccan Cockatoo.

"Siasatan lanjut mendapati seekor tarantula itu boleh dijual dengan harga RM150 hingga RM300 dan diikuti dengan kala jengking (RM150); Chinchilla (RM1,500 - RM3,000); ular sawa Ball Phyton (RM3,000) serta burung (RM12,000 hingga RM25,000).

"Lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai menjana pendapatan sepenuhnya daripada hasil penjualan haiwan berkenaan.

"Semua haiwan itu dirampas selepas lelaki itu gagal mengemukakann dokumen serta lesen sah daripada Perhilitan bagi memiliki haiwan terbabit," katanya.

Beliau berkata, suspek kemudian dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti dari mana dia memperoleh bekalan haiwan itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Seksyen 68 akta sama kerana menyimpan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:40 PM