MOHD Redzuan peminat ular sawa batik.
MOHD Redzuan peminat ular sawa batik.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


MESKIPUN pernah digigit ular sawa liar dan menerima 10 jahitan ketika membantu menangkap ular yang memasuki bas kilang namun, minat Mohd Redzuan Abdullah Zawawi, 38, terhadap haiwan berkenaan tidak pernah berkurangan.

Bermula sekadar suka-suka membela ular sawa batik kira-kira 18 tahun lalu, kini dia memiliki tujuh reptilia eksotik itu yang berlainan jenis.

Menurut Mohd Redzuan, ular adalah haiwan yang unik dari segi corak kulit dan habitatnya.

Selain itu, haiwan berkenaan juga mudah dibela, sukar mendapat penyakit dan tidak perlu diberi makan setiap hari.

"Untuk ular sawa contohnya, ia makan dua minggu sekali iaitu 10 hingga 15 ekor ayam atau arnab selain anggaran kos penjagaan, makanan bagi tujuh ekor ular sawa adalah sekitar RM500 hingga RM800 sebulan," katanya.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, haiwan eksotik pertama yang dibela adalah seekor ular sawa batik betina yang ditemui berdekatan kebun durian rakannya dan dijaga sehingga hari ini.

Ketika itu saiz ular sawa yang diberi nama Cik Kiah dianggarkan berukuran tiga jari sahaja, tetapi kini sudah membesar sepanjang lebih 20 kaki dengan berat mencecah lebih 200 kilogram (kg).

Kata Mohd Redzuan, Cik Kiah paling disayangi dan mempunyai nilai sentimental tersendiri kerana dengan haiwan itu dia mula belajar membela ular sawa.

"Biarpun meminati ular, namun hanya satu spesies yang dibela iaitu dari keluarga reticgulated phyton (ular sawa batik).

ULAR spesies yang mudah dijaga.
ULAR spesies yang mudah dijaga.

"Spesies yang paling sukar ditemui dan berada dalam koleksi adalah reticgulated phyton lucy iaitu daripada genetik berbeza.

"Untuk keselamatan dan keselesaan, saya menyewa sebuah rumah khas bagi menempatkan semua ular peliharaan itu," katanya yang turut mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga yang juga pencinta haiwan.

Berkongsi pengalamannya, Mohd Redzuan berkata, ular sawa biasanya jinak, namun boleh bertukar agresif ketika waktu makan dan dia juga pernah digigit.

Tetapi, alah bisa tegal biasa. Semua pengalaman itu menjadikan Mohd Redzuan lebih berhati-hati ketika mengendali haiwan eksotik berkenaan.

Ketika ditanya mengenai kesanggupannya menjual haiwan peliharaannya itu jika ada pihak yang berminat, Mohd Redzuan menyatakan dia tidak akan sesekali menjualnya.

"Sebenarnya memang ramai yang berminat dan menawarkan harga tertentu, tetapi saya tidak mahu menjualnya. Saya ingin membela sahaja, bukan menjual.

PERNAH menerima 10 jahitan akibat digigit ular namun tidak sesekali melunturkan minat terhadap haiwan eksotik itu.
PERNAH menerima 10 jahitan akibat digigit ular namun tidak sesekali melunturkan minat terhadap haiwan eksotik itu.

"Membela ular adalah sebahagian terapi jiwa selain dapat merehatkan minda dan menghilang tekanan seharian," katanya yang juga pemegang lesen menyimpan hidupan liar yang dilindungi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Sementara itu, Mohd Redzuan berkata, bagi yang berminat untuk memelihara ular terutama ular sawa, perlu banyak mendapatkan ilmu dan memiliki lesen yang sah.

CIK Kiah kesayangan Mohd Redzuan seberat 200kg dengan panjang lebih 20 kaki.
CIK Kiah kesayangan Mohd Redzuan seberat 200kg dengan panjang lebih 20 kaki.

Ini kerana, ia tidak berakal, jadi perlu lebih berhati-hati terutama pada waktu makan dan rehat haiwan berkenaan.

"Selain itu, pastikan tempat tinggalnya luas dan selesa kerana ia membesar mengikut keluasan ruang serta makanan yang diberi.

"Apa pun, seperti haiwan peliharaan lain, memelihara reptilia itu memerlukan keberanian yang tinggi dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2022 @ 7:00 AM