ANCAMAN pelbagai jenis serangga berbisa dalam negara perlu diambil serius untuk melindungi diri serta keluarga. - FOTO Google
ANCAMAN pelbagai jenis serangga berbisa dalam negara perlu diambil serius untuk melindungi diri serta keluarga. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


BERIKLIM tropika memberi kelebihan kepada Malaysia memiliki pelbagai jenis serangga termasuk yang berbisa.

Fungsi utama serangga ialah menstabilkan ekosistem persekitaran, tetapi sebahagiannya mempunyai kepentingan dalam perubatan.

Serangga berbisa boleh ditemui di mana-mana sama ada di rumah, pusat peranginan atau di hutan.

Oleh itu, perlu berhati-hati dengan serangga berbisa ini kerana gigitannya boleh menyebabkan kesakitan melampau, gatal, bengkak dan kemerahan yang mungkin berlanjutan hingga beberapa hari.

Ketua Jabatan Jabatan Parasitologi dan Entomologi Perubatan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Syamsa Rizal Abdullah berkata, antara contoh serangga berbisa ialah lipan, ulat gonggok, ulat bulu, labah-labah dan kala jengking.

Menurutnya, ada juga serangga berbisa seperti lebah, tebuan dan penyengat yang boleh mengakibatkan kesan kecederaan, alahan serius serta boleh membawa kematian, jika tidak dirawat dengan segera.

"Serangga berbisa dilengkapi dengan alat bisa yang berupaya memindahkan bisa atau racun kepada mangsa sama ada melalui gigitan ataupun sengatan.

"Justeru, amat penting untuk kita melindungi diri dan keluarga daripada gigitan serangga berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kala jengking dan labah-labah adalah daripada kumpulan serangga yang sama iaitu Acarina iaitu mempunyai empat pasang kaki.

"Kala jengking menyimpan bisa dan menyengat menggunakan struktur khusus pada bahagian belakangnya yang dikenali sebagai telson.

"Labah-labah pula menggunakan kelisera iaitu struktur seperti 'gigi' yang berada pada bahagian kepalanya," katanya.

Dr Syamsa Rizal berkata, kedua-dua struktur itu digunakan sebagai mekanisme pertahanan juga untuk melemahkan dan membunuh haiwan serta serangga lain sebelum dimakan.

"Hanya sebahagian kecil spesies kala jengking dan labah-labah mempunyai bisa yang boleh memberi kesan serius kepada manusia.

"Di luar negara, sebahagian spesies kala jengking dan labah-labah seperti 'Black Widow' diketahui boleh menyebabkan kematian kerana bisanya memberi kesan yang sangat kuat kepada sistem saraf mangsa,"katanya.

Manakala lipan dan ulat gonggok pula ialah serangga merayap yang mempunyai banyak kaki.

"Lipan berbentuk leper dan mempunyai sepasang kaki pada setiap segmen, sementara ulat gonggok pula lebih berbentuk silinder serta mempunyai dua pasang kaki pada setiap segmen.

ORANG ramai perlu menyedari bahaya serta kesan gigitan pelbagai jenis serangga berbisa yang wujud di sekeliling.
ORANG ramai perlu menyedari bahaya serta kesan gigitan pelbagai jenis serangga berbisa yang wujud di sekeliling.

"Selain itu, lipan juga memindahkan bisa kepada mangsa menggunakan struktur kaki hadapan yang diubah suai menjadi 'kuku bisa.'

"Ulat gonggok pula tiada alat bisa yang khusus, tetapi mempertahankan diri dengan merembeskan cairan merengsa yang akan memberi kesan terbakar apabila terkena kulit. Namun lipan dan ulat gonggok tidak menyebabkan kematian," katanya.

Beliau yang juga pensyarah kanan jabatan berkenaan berkata, tebuan, lebah dan penyengat turut mempunyai persamaan kerana ketiga-tiganya adalah serangga dalam kelas 'insecta.'

"Ia mempunyai tiga pasang kaki dan mampu terbang untuk menyerang mangsa.

"Ketiga-tiganya dilengkapi dengan struktur 'jarum tajam' yang terletak pada bahagian belakang abdomennya," katanya.

Dr Syamsa Rizal berkata, lebah mempunyai jarum tajam bergerigi yang akan tertinggal pada kulit mangsa selepas disengat.

"Sementara itu, tebuan dan penyengat pula mempunyai jarum tajam yang licin, tidak meninggalkan sengat pada kulit mangsa selain mampu menyengat mangsa beberapa kali.

"Serangan serangga ini berbahaya kerana boleh mengakibatkan kematian akibat kesan anafilaktik yang merosakkan fungsi organ utama dalam badan.

"Di Malaysia, sengatan serangga jenis ini penyumbang utama kes kematian akibat serangan serangga berbisa," katanya.

Jelasnya, ulat bulu adalah peringkat pramatang bagi rama-rama yang kebiasaannya merayap pada bahagian dahan dan ranting pokok.

"Walaupun kebanyakan ulat bulu tidak berbisa namun ada sebahagian spesies yang menggunakan bulu pada badan sebagai alat mempertahankan diri.

"Bulu beracun ini memberi kesan gatal dan sakit pada kulit. Jika terkena pada mata, boleh mengakibatkan konjunktivitis (jangkitan pada mata)," katanya.

Menyentuh mengenai rawatan apabila terkena gigitan dan sengatan serangga berbisa beliau berkata, ada segelintir individu beranggapan gigitan dan sengatan serangga berbisaperkara remeh serta boleh baik dengan sendiri tanpa rawatan.

"Tidak kurang pula percaya dengan kaedah alternatif seperti menyapu ubat gigi, garam atau tanah pada kawasan yang terkena sengatan.

"Amalan seperti ini tidak disokong dengan bukti saintifik perubatan, malah boleh memudaratkan pesakit.

"Hakikatnya, sengatan serangga berbisa adalah sesuatu yang serius dan perlu segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan daripada pakar perubatan," katanya.

Katanya lagi, untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman serangga berbisa adalah perlu sentiasa peka terhadap persekitaran dalam serta luar kawasan penginapan.

MEMAKAI kasut yang sesuai ketika ‘jungle trekking’ elak ancaman serangga berbisa.
MEMAKAI kasut yang sesuai ketika ‘jungle trekking’ elak ancaman serangga berbisa.

>Langkah mudah mengelak ancaman serangga berbisa

>i. Sentiasa pemeriksa pakaian dan kasut sebelum memakainya.

>ii. Berhati-hati ketika ke bilik air terutama sebelah malam.

>iii. Elak berada di kawasan yang mungkin menjadi habitat serangga berbisa seperti semak samun, hutan belukar, rumah tinggal dan longgokan perabot lama.

>iv. Memakai pakaian sesuai ketika menjalani aktiviti luar seperti berkebun atau 'jungle trekking.'

>v. Hubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ataupun Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia (JBPM) jika ternampak sarang lebah, tebuan atau penyengat pada pokok atau struktur rumah.

>Langkah awal boleh diambil sementara menunggu pesakit dihantar ke hospital

>i. Cabut jarum sengatan serangga berbisa dengan berhati-hati menggunakan penyepit.

>ii. Cuci luka sengatan atau gigitan menggunakan air bersih dan antiseptik untuk mencegah jangkitan kuman.

>iii. Ais dibalut dengan kain boleh digunakan pada kawasan luka untuk meredakan rasa sakit pada bahagian luka

>iv. Kurangkan pergerakan anggota badan yang terkena sengatan atau gigitan.

>v. Bawa mangsa segera ke hospital. Jika boleh, bawa sekali serangga berbisa yang menggigit atau menyengat untuk pengenalpastian pihak hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 7:00 AM