CORAK bulu unik menjadikannya kucing Bengal istimewa.
CORAK bulu unik menjadikannya kucing Bengal istimewa.
Hafiz Ithnin


BUKAN sekali atau dua malah sudah tidak terkira tatkala si pemilik pasangan haiwan kesayangannya keluar dari rumah, sering dikatakan haiwan itu ganas atau garang. Hakikatnya, bagi pemilik pasangan kucing bengal atau nama saintifiknya, Felis catus B Prionailurus bengalensis adalah kucing yang amat jinak dan manja kepada pemiliknya.

Nawal Nabilah A Manan, 34, memiliki kucing bengal pertamanya pada Jun 2021 yang diberikan kakaknya juga seorang 'pembaka' kucing berkenaan.

"Bengal saya yang pertama adalah jantan yang diberikan nama Bruno. Kakak saya menyerahkannya pada usia empat bulan. Kemudian, pada Ogos tahun sama saya membeli seekor lagi bengal iaitu betina yang diberikan nama Avril.

"Andaian orang apabila melihat kucing kesayangan saya ini garang atau ganas adalah perkara biasa. Termasuklah doktor veterinar kerana mereka di sini ( Manjung, Perak) tidak ramai membela kucing jenis ini. Hakikatnya, kucing ini amatlah manja dan nakal," katanya.

Nawal berkata, kucing bengal ditawarkan harga yang agak premium di pasaran dengan harga jualan untuk jantan kira-kira RM1,500 seekor dan betina lebih mahal antara RM1,600 hingga RM1,800 seekor.

"Keunikan kucing bengal ini adalah terletak kepada badannya yang tegap tetapi tidak gemuk. Malah, haiwan ini juga mempunyai tubuh yang agak panjang.

"Selain itu, sudah pastinya keunikan corak pada bulu beralun dan bertompok menjadikannya lebih unik. Lagi pun bulunya sentiasa berkilat jika ia adalah baka bengal yang asli," katanya.

(kanan) NAWAL dan suami, Muhammad Izhar Alias bersama kucing bengal milik mereka.
(kanan) NAWAL dan suami, Muhammad Izhar Alias bersama kucing bengal milik mereka.

Jelasnya, hal pemakanan adalah perkara paling penting kerana haiwan itu memerlukan diet khas supaya tidak berlaku masalah kesihatan seperti cirit birit, bulu gugur atau mengalami bulu yang tidak bersinar.

"Kucing bengal saya diberikan diet RC Bengal & Taste of The Wild. Seminggu sekali saya akan berikan daging segar yang dijual di kedai haiwan khas untuk kucing atau ayam yang direbus kosong.

"Saya boleh katakan kos makanannya agak tinggi tetapi untuk peminat kucing, memastikan kesihatan haiwan kesayangan antara perkara yang tidak boleh dipandang remeh," katanya.

AKTIF antara sifat semulajadi kucing bengal.
AKTIF antara sifat semulajadi kucing bengal.

Katanya, kucing bengal mempunyai perangai yang agak nakal dan lasak terutama suka melompat dari tempat tinggi sesuai dengan susur galur baka awalnya daripada kucing hutan.

"Menerusi pembacaan saya, bengal ini adalah baka kacukan generasi keempat hasil campuran baka Asian leopard cat atau kucing hutan dengan Egyptian Mau.

"Justeru, sifat semula jadinya yang suka melompat terutama di tempat tinggi tidak boleh dipisahkan walaupun sudah berada pada generasi keempat," katanya.

Katanya, dari segi penjagaan kucing bengal amat mudah terutama untuk 'didandan' kerana ia adalah kucing yang sukakan air berbanding dengan baka kucing lain yang takut kepada air.

KELETAH yang nakal menjadikan kucing bengal sentiasa mendapat perhatian peminat kucing.
KELETAH yang nakal menjadikan kucing bengal sentiasa mendapat perhatian peminat kucing.

"Saya menghantar pasangan kucing bengal ke pusat dandanan kucing sebulan sekali untuk dimandikan dan memotong kuku.

"Apabila dimandikan, kucing bengal begitu seronok dan tidak akan bersikap agresif. Malah, melalui pemerhatian saya, mereka gemarkan air. Mungkin itu adalah antara sifat semula jadinya daripada generasi baka terawal," katanya.

Jelasnya, cabaran apabila memiliki haiwan ini adalah sikap lasaknya menyebabkan rumah mudah bersepah jika pemilik membiarkannya bergerak bebas.

NAWAL memiliki sepasang kucing Bengal.
NAWAL memiliki sepasang kucing Bengal.

"Pasangan bengal saya tidak dikurung tetapi dibiarkan bebas di dalam rumah. Saya tidak kisah perlu kerap mengemas kerana tidak mahu kucing ini tertekan kerana dikurung.

"Namun, jika berniat untuk membawanya bersiar-siar perlu dipakaikan abah-abah bertali kerana haiwan ini berlari amat laju dan sukar untuk ditangkap jika terlepas," katanya.

Katanya lagi, kucing bengal juga tiada masalah untuk bersosial dengan kucing daripada baka lain memandangkan dia juga mempunyai beberapa ekor kucing peliharaan yang dipelihara secara bebas di dalam rumah.

"Buat masa ini, tidak pernah lagi saya melihat pasangan bengal saya bergaduh dengan kucing lain dan mereka boleh hidup dengan harmoni di dalam rumah," katanya.

Dari segi kesihatan, katanya, kucing bengal perlu diberi perhatian terutama jika terdapat kucing lain yang mengalami selsema, ia perlu diasingkan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Oktober 2022 @ 7:00 AM