KUCING baka Ashera dikatakan paling mahal ketika ini, harganya boleh mencecah RM400,000 seekor. - FOTO Google
KUCING baka Ashera dikatakan paling mahal ketika ini, harganya boleh mencecah RM400,000 seekor. - FOTO Google
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Dalam banyak-banyak haiwan peliharaan, kucing sememangnya berada di kedudukan teratas.

Kucing bukan sahaja comel dan manja malah boleh menjadi peneman setia kepada manusia.

Penjagaan kucing juga lebih mudah berbanding haiwan lain kerana ia bukan jenis yang cerewet atau rumit untuk dijaga.

Menjaga kucing juga mampu membibitkan sifat empati dan kasih sayang antara manusia serta haiwan.

Selain kucing tempatan, masyarakat di negara ini juga menggemari kucing import kerana kecomelan penampilannya.

Antara jenis kucing luar negara yang sering menjadi pilihan penggemar di negara ini adalah British Short Hair, Mainecoon, Persian dan Scottish Fold.

Minat dan kasih yang mendalam turut mendorong pencinta kucing sanggup berhabis puluhan ribu ringgit semata-mata mendapatkan kucing idaman terutama daripada jenis baka asli atau purebreed.

Ada juga baka yang sukar diperoleh, mahal harganya dan tidak sesuai dibela di rumah.

Ia memerlukan penjagaan khas dan kos yang tinggi.

Antara baka kucing yang paling mahal ketika ini ialah Russian Blue yang dianggarkan boleh mencecah lebih RM12,000 seekor.

Ia seakan-akan baka British Short Hair dan kucing berkenaan juga gemar bermain selain suka dibelai.

KUCING Russian Blue yang berharga belasan ribu ringgit. - FOTO Google
KUCING Russian Blue yang berharga belasan ribu ringgit. - FOTO Google

Kucing tidak berbulu baka Sphynx juga antara yang paling mahal di dunia ketika ini.

Walaupun kucing ini dijual antara RM4,000 hingga RM13,000 dan dikatakan kurang comel namun ia tetap memiliki peminat tersendiri.

Selain itu, kucing baka Peterbald juga cukup mahal harganya dan boleh dikatakan hanya mampu dimiliki golongan berada sahaja.

Kucing baka Peterbald ini dikatakan berharga antara RM5,000 hingga RM20,000 seekor.

Bagi peminat kucing liar, baka Caracal antara yang termahal untuk dimiliki dan dijual pada harga bermula dari RM150,000.

Kucing berkenaan biasanya boleh ditemui di kawasan berbatu dan gurun terutama di negara benua Afrika dan India.

Di Malaysia, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dikatakan antara pemilik kucing spesies Caracal ini.

KUCING liar baka Caracal dijual pada harga bermula RM150,000. - FOTO Google
KUCING liar baka Caracal dijual pada harga bermula RM150,000. - FOTO Google

Kucing Bengal pula tidak kurang mahalnya, ia biasanya dijual pada harga antara RM15,000 hingga boleh mencapai puluhan ribu ringgit.

Ia adalah hasil campuran baka domestik dan kucing Asian Leopard (ALC).

Kucing Savannah juga turut dikatakan untuk golongan berada sahaja kerana harganya boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

Ia seakan kucing Bengal dan sifatnya sangat setia seperti anjing.

Namun, kucing paling mahal ketika ini adalah baka Ashera yang dikatakan berharga antara RM64, 000 hingga lebih RM400,000.

Ia istimewa kerana dikatakan hasil kacukan tiga baka terbaik iaitu kucing serval Afrika, ALC dan kucing domestik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 6:44 AM