ABDUL Hakim sering membawa kucing bengal peliharaan bersiar-siar di taman.
ABDUL Hakim sering membawa kucing bengal peliharaan bersiar-siar di taman.
Muhamaad Razis Ismail


Kucing bengal cukup dikenali kerana memiliki corak dan warna pada bulunya seperti harimau bintang.

Antara corak menarik yang terdapat pada kucing ini termasuk 'spotted', 'pancake', 'rosette', 'sparble' dan 'marble'.

Selain itu, rangka badan, cara berjalan, bentuk muka dan bulu yang berkilat sering menarik perhatian ramai terutama peminat kucing di dalam mahupun luar negara.

Karakter haiwan itu yang sangat aktif, bijak, suka bermain dan sentiasa inginkan perhatian, mampu mencuit hati sesiapa sahaja yang melihat telatahnya.

Bagi peminat kucing ini, kualiti sentiasa diutamakan untuk memastikan haiwan yang dimiliki berada pada tahap terbaik. Oleh itu, garis keturunan kucing sentiasa dititikberatkan.

Jadi, tidak hairan kucing ini boleh dijual pada harga puluhan ribu ringgit seekor bergantung kepada kriteria yang diinginkan.

SERING dikaitkan dengan kucing yang pintar.
SERING dikaitkan dengan kucing yang pintar.

Bagi Hezlin Fazrina Abdul Hadi Nor atau lebih mesra disapa sebagai Kak Reen, dia tertarik dengan keunikan kucing ini kerana dilihat berbeza berbanding kucing lain.

Kini, dia memiliki 30 kucing bengal yang dipelihara di kateri (tempat pembiakan kucing) miliknya Kittunkatz Bengals di Kota Bharu, Kelantan sejak 17 tahun lalu.

Bukan itu sahaja, dia juga aktif membiak kucing baka asli itu untuk dieksport ke luar negara termasuk ke Amerika Syarikat, China dan Arab Saudi.

Dek kesibukannya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan menguruskan kilang miliknya, tugas mengendalikan kateri diserahkan kepada anaknya, Abdul Hakim Sabri.

Hezlin Fazrina berkata, biarpun kucing ini kelihatan 'ganas' kerana berasal daripada keturunan kucing liar, namun ia boleh menjadi sangat manja sekiranya dilatih sejak kecil.

SENTIASA ingin perhatian.
SENTIASA ingin perhatian.

"Biasanya selepas menyusu, saya akan bawa masuk dalam rumah untuk luangkan lebih masa termasuk bermain, tidur dan ajar makan.

"Lama-kelamaan, kucing yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang akan mula memahami dan percaya terhadap pemiliknya," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, kucing ini juga sangat suka bermain dan sentiasa ingin perhatian terutama pada sebelah malam.

"Ia pantang melihat saya, ada sahaja yang akan dilakukan antaranya mencuit kaki dan lompat ke atas riba untuk diajak bermain.

"Kadangkala saya terpaksa 'menyorok' sebentar dalam bilik untuk menyiapkan kerja sebelum meluangkan masa bersama haiwan itu.

DIET kucing bengal.
DIET kucing bengal.

"Kucing ini juga suka melompat dan memanjat. Jadi, semua barang berkaca dan mudah pecah saya simpan dalam kotak," katanya.

Katanya, semua kucingnya ditempatkan di sebuah rumah kaca di mana setiap daripadanya mempunyai ruang masing-masing.

"Saya turut menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) dan seekor anjing untuk mengawasi keselamatan kucing," katanya.

Jelasnya, penjagaan kucing ini tidak rumit dan sangat mudah, namun memerlukan ketelitian.

"Makanan mentah seperti kaki ayam, hati ayam, daging lembu, kuning telur dan makanan kucing diberikan setiap dua kali sehari.

CORAK dan warna di bulunya sentiasa menarik perhatian.
CORAK dan warna di bulunya sentiasa menarik perhatian.

"Setiap kucing mempunyai bekas makanan masing-masing untuk memudahkan pemantauan. Sekiranya makanan tidak dihabiskan, saya dapat kenal pasti kucing mana yang berkemungkinan berdepan masalah kesihatan.

"Kebiasaannya, kucing sukar mendapat penyakit sekiranya penjagaan termasuk kebersihan, makanan dan vaksin diberi keutamaan," katanya.

Mengulas mengenai pembiakan kucing bengal, Hezlin Fazrina berkata, dia sentiasa mengutamakan kualiti supaya dapat dieksport ke luar negara.

"Pemilihan induk jantan dan betina dibuat dengan teliti untuk memastikan anak kucing yang dilahirkan memenuhi standard ditetapkan.

"Peminat kucing ini biasanya sudah mengetahui anggaran harga yang perlu dikeluarkan untuk kualiti kucing yang diinginkan," katanya yang pernah menjual kucing bengal pada harga RM55,000.

SANGAT bertenaga.
SANGAT bertenaga.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia berhasrat membina sebuah galeri khas untuk kucing bengalnya sebagai tarikan pelancongan di Kelantan.

"Saya dapat banyak permintaan dari luar negara yang ingin singgah ke kateri saya apabila mereka bercuti di Malaysia.

"Malah, saya bersedia bekerjasama dengan kerajaan atau pihak swasta supaya impian ini dapat direalisasikan untuk manfaat bersama," katanya.

PERLU dipupuk dengan kasih sayang sejak kecil.
PERLU dipupuk dengan kasih sayang sejak kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:20 AM