MIMIEY memiliki keunikan tersendiri.
MIMIEY memiliki keunikan tersendiri.
Muhamaad Razis Ismail


Kebiasaannya, kucing kampung sering dikaitkan sebagai kucing 'biasa' berbanding spesies lain.

Kucing yang turut digelar sebagai Domestic Short Hair ini biasanya dilihat berkeliaran dan mudah ditemui di jalanan memandangkan cara pembiakannya tidak dikawal.

Kelebihan kucing ini, ia lebih tahan lasak dan mudah dijaga tanpa membabitkan kos yang tinggi kerana biasa membiak dan hidup dalam persekitaran tempatan.

Biarpun tidak popular seperti kucing import lain, kucing kampung tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Pesona yang dimiliki kucing kampung ini menjadikannya setanding dengan kucing import lain.

Antaranya kucing kampung yang dinamakan Mimiey milik Wan Suhairing Wan Daud, 40, ini yang dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan dalam pertandingan Citrawarna Kucing Kelantan 2022 anjuran Tumpat Cat Society di Kota Bharu, Kelantan pada 11 Jun lalu.

Uniknya, Mimiey adalah kucing gelandangan yang ditemui Wan Suhairing secara kebetulan di sebuah pasar basah di Pasir Mas.

Katanya, ketika itu, keadaan kucing berwarna putih dan kelabu itu berada dalam keadaan yang amat menyedihkan.

WAN Suhairing bersama Mimiey.
WAN Suhairing bersama Mimiey.

"Ia nampak sangat kurus dan dalam keadaan yang tidak bermaya. Atas dasar kasihan, saya mengambilnya dan dibawa pulang ke rumah.

"Selepas diberi rawatan selama beberapa bulan dan dijaga dengan penuh kasih sayang, ia berubah menjadi kucing yang cantik serta aktif," katanya.

Pada Jun lalu, dia yang aktif menyertai pelbagai pertandingan kucing, menyertai Citrawarna Kucing Kelantan sekadar mengisi masa lapang dan bertemu rakan selepas dua tahun tiada penganjuran pertandingan kucing akibat pandemik Covid-19.

"Melihat potensi yang dimiliki Mimiey, saya membawanya untuk menyertai pertandingan kali ini.

WAN Suhairing sering meluangkan selama sejam bermain dengan kucingnya.
WAN Suhairing sering meluangkan selama sejam bermain dengan kucingnya.

"Alhamdulillah tanpa disangka, Mimiey mengejutkan ramai pihak apabila diumumkan sebagai pemenang keseluruhan dalam pertandingan itu," katanya.

Bagi Wan Suhairing, kucing kampung mempunyai kelebihan dan keunikan tersendiri.

Katanya, pengalaman memelihara kucing kampung sejak kecil, ia lebih mudah dijaga dan tidak cerewet memilih makanan.

"Kucing kampung lebih mudah diuruskan, mendengar kata, lincah dan sangat aktif.

WAN Suhairing bersama piala yang dimenangi dalam pertandingan kucing.
WAN Suhairing bersama piala yang dimenangi dalam pertandingan kucing.

"Selain itu, kucing ini lebih berani dan paling utama ia pandai menjaga kawasan rumah daripada haiwan liar serta bahaya," katanya yang memelihara 15 kucing kampung.

Selain itu, dia turut memelihara beberapa kucing spesies lain seperti British Shorthair, Persian, Munchkin dan Domestic Long Hair.

Menurutnya, karakter kucing kampung ini lebih manja dan penjagaannya lebih mudah kerana mempunyai bulu pendek.

"Ia juga mempunyai tahap ketahanan badan yang tinggi untuk melawan penyakit berbanding kucing baka import. Paling unik adalah umur kucing kampung lebih panjang berbanding kucing lain," katanya.

ANTARA kucing kampung milik Wan Suhairing yang pernah memenangi pertandingan.
ANTARA kucing kampung milik Wan Suhairing yang pernah memenangi pertandingan.

Jelasnya, biarpun mudah dijaga, dia tidak pernah mengambil ringan terhadap semua kucing peliharaannya.

"Setiap bulan saya peruntukan tidak kurang RM1,000 untuk penjagaan mereka.

"Untuk memastikan semua kucing dalam siap, saya akan pasti rutin penjagaan sentiasa mengikut jadual yang betul termasuk untuk pemberian ubat cacing, vaksin dan dandanan," katanya.

Tambahnya, biarpun memelihara kucing kampung, pemilik perlu melengkapkan diri dengan ilmu pemeliharaan dan penjagaan kucing.

"Memelihara kucing bukan setakat tahu beri makanan sahaja, malah ia perlu dijaga seperti ahli keluarga sendiri," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, pemilik Abah Home Of Bulus ini berhasrat menyediakan tempat perlindungan yang selesa untuk kucing jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:00 AM