Redzuan Muharam

Bukan hanya memberi makan dan minum saja, malah Kamarul Aiman Kamarudin melayan ular peliharaannya yang diberi nama Miko dengan penuh kasih sayang ibarat menatang minyak yang penuh.

Mana tidaknya, Kamarul Aiman, 25, sudah memelihara Miko sejak tujuh tahun lalu iaitu ketika reptilia itu masih kecil.

Jadi, tempoh hampir sedekad itu membuatkan Miko 'jinak' dengan Kamarul Aiman, malah keluarganya turut menyayangi reptilia yang beratnya kini mencecah 90 kilogram (kg) itu dengan panjang berukuran 5.4 meter.

Bercerita lanjut, Kamarul Aiman yang menetap di Kampung Jeram Tekoh, Gua Musang, Kelantan berkata, Miko dibawa pulang ke rumah oleh bapa saudaranya, Mohamad Suhairizan Mohd Noor, 28, selepas mendapat lesen sebagai pemilik daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

MIKO kini mempunyai berat 90kg.
MIKO kini mempunyai berat 90kg.

"Ketika kecil, saya dan keluarga gemar menonton rancangan dokumentari National Geographic dari situ timbulnya minat yang mendalam terhadap haiwan eksotik.

"Satu hari, bapa saudara bawa pulang Miko ke rumah dan tunjukkan kepada kami sekeluarga.

"Sejak itu, saya tertarik dengan Miko dan memandangkan bapa saudara jarang pulang ke rumah disebabkan kerja di luar negeri maka saya yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga haiwan itu," katanya.

Berkongsi lanjut pengalamannya, Kamarul Aiman berkata, Miko tidak pernah berkelakuan agresif dengannya mahupun ahli keluarga yang lain.

Sebaliknya, semua ahli keluarga menerima dan melayan Miko dengan baik, malah reptilia itu juga menjadi tarikan jiran serta saudara-mara ketika berkunjung ke rumahnya.

ULAR sawa dibelai, dimanja penuh kasih sayang selain diberi makan sejak kecil.
ULAR sawa dibelai, dimanja penuh kasih sayang selain diberi makan sejak kecil.

"Mungkin kerana saya memelihara Miko sejak kecil, jadi saya mahupun keluarga tidak pernah digigit atau dibelit olehnya.

"Bagaimanapun, itu tidak bermakna kami mengambil mudah soal keselamatan, malah ada sediakan sangkar khas untuk menempatkan Miko di luar rumah dan hanya bawanya keluar ketika keluarga serta rakan yang datang mahu melihatnya lebih dekat.

"Kebiasaannya, saya akan mandikan Miko terlebih dahulu sebelum saudara-mara atau rakan datang untuk melihat Miko dan bawanya ke kawasan yang sesuai," katanya.

Kamarul Aiman berkata, ada beberapa individu yang mahu memberi ular sawa liar kepadanya kerana tahu dia memelihara Miko.

Bagaimanapun, dia menolaknya kerana ular sawa liar agak agresif dan berbeza dengan Miko yang manja sejak kecil.

"Buat masa ini, saya sekeluarga hanya pelihara seekor ular iaitu Miko kerana mengambil kira soal kemampuan memandangkan kos makanan Miko yang agak tinggi.

KAMARUL Aiman memandikan Miko di dalam sangkar.
KAMARUL Aiman memandikan Miko di dalam sangkar.

"Lagipun kami tiada masa untuk pelihara lebih daripada seekor ular kerana turut memelihara haiwan lain seperti kucing, lembu, kambing, arnab, ayam, itik, angsa, puyuh dan burung merpati," katanya.

Berhubung perkongsiannya di TikTok, Kamarul Aiman tidak menyangka video dimuat naiknya di platform berkenaan mendapat perhatian netizen hingga meraih jutaan tontonan kerana baru mengaktifkan akaun dua bulan lalu.

"Niat saya kongsi di TikTok untuk suka-suka, tak sangka pula boleh tular, malah video terawal menunjukan Miko bersalin kulit di bawah sofa setakat ini meraih hampir dua juta tontonan.

"Bertitik tolak daripada situ, pengikut saya di TikTok bertambah dan kerap memuat naik video atas permintaan mereka (pengikut) juga yang mahu tahu perkembangan Miko.

"Meskipun ramai yang suka, ada juga kecaman diterima sejak berkongsi video Miko apabila segelintir berkongsi kepercayaan mereka bahawa ular peliharaan saya itu akan 'memakan tuan.'

"Ada juga yang nasihatkan supaya melepaskan Miko ke habitat asal, namun kami sekeluarga tidak sampai hati kerana yakin di luar sana lebih bahaya untuknya, jadi biar kami memeliharanya selagi termampu," katanya.

AHLI keluarga Kamarul Aiman tidak gentar memegang Miko.
AHLI keluarga Kamarul Aiman tidak gentar memegang Miko.

Berkongsi perancangannya, Kamarul Aiman mengakui dia sedia menyertai acara pameran haiwan eksotik jika diberi peluang dan berharap ada pihak menyediakan tempat sesuai ataupun kawasan khas buat Miko di bandar ini (Gua Musang).

"Kewujudan tempat khas itu nanti dapat memberi peluang kepada saya membawa Miko ke sana pada hujung minggu dan orang ramai pula boleh melihat Miko lebih dekat seterusnya merancakkan lagi sektor pelancongan di sini," katanya yang sedia memohon permit pamer daripada Perhilitan jika diberi peluang menyertai acara membabitkan Miko.

SEPUPU Kamarul Aiman, Haikal Faiz bersama Miko ketika berusia lima bulan.
SEPUPU Kamarul Aiman, Haikal Faiz bersama Miko ketika berusia lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 6:20 AM