PENGGUNA boleh menghidupkan perkongsian data supaya dapat melakukan pemantauan dengan pemakai.
PENGGUNA boleh menghidupkan perkongsian data supaya dapat melakukan pemantauan dengan pemakai.
Muhammad Saufi Hassan


PENJAGAAN kesihatan pada ketika ini lebih mudah dengan alat bantu serta padanan teknologi terkini, sekali gus memberi pemantauan menyeluruh kepada pengguna.

Sebagai contoh, jam pintar bukan lagi satu aksesori, malah sudah menjadi perkakas penting bukan saja untuk tujuan notifikasi, tetapi turut menjadi 'jurulatih' riadah maya yang sangat efisien.

Peneraju industri untuk segmen berkenaan adalah perkakas keluaran Apple menerusi siri Apple Watch yang dilengkapi dengan kepelbagaian kefungsian serta teknologi.

Bukan saja sebagai jurulatih riadah maya, Apple Watch sudah dilengkapi dengan teknologi penting seperti pengesan hentakan, analisis pergerakan, bacaan degupan jantung serta notifikasi kecemasan jika pemakainya berdepan insiden tidak diingini.

Kefungsian itu boleh dikongsi, sekali gus memberikan pemantauan maklumat yang berkesan serta masa nyata untuk pengguna.

Contohnya, pengguna menghidupkan perkongsian data maklumat kesihatan dengan ibu bapa dan mereka memakai peranti Apple Watch berkenaan.

Pengguna dapat melihat data kesihatan mereka secara masa nyata dan jika wujud sebarang trend yang tidak normal, pengguna boleh menelefon ibu bapa mereka sama ada mereka dalam keadaan baik atau sebaliknya.

Individu yang anda kongsi data kesihatan juga boleh melihat pemberitahuan kesihatan yang diterima, termasuk degupan jantung yang tinggi dan pemberitahuan irama jantung yang tidak teratur.

Pengguna juga boleh berkongsi pemberitahuan untuk arah aliran yang ketara seperti penurunan mendadak dalam aktiviti.

Keupayaan teknologi yang ada pada peranti itu juga membolehkan bacaan 'Mobility Metrics' menggunakan sensor pergerakan yang terbina dalam peranti iPhone.

Kefungsian ini akan mengukur secara anggaran kelajuan berjalan, jarak langkah, tempoh masa kedua-dua kaki dan simetri ketika berjalan.

Semua metrik yang boleh digunakan untuk mencirikan gaya berjalan serta mobiliti pengguna dan berdasarkan data itu, pengguna mungkin boleh melakukan pengubahsuaian seperti struktur aktiviti riadah.

Pengukuran prestasi berjalan sering digunakan untuk menilai status kesihatan individu, mengesan pemulihan daripada kecederaan dan pembedahan atau memantau perubahan dengan penuaan.

Beberapa ukuran prestasi berjalan yang biasa digunakan ialah kelajuan berjalan, panjang langkah, masa sokongan berganda dan simetri berjalan.

Sementara itu, peranti berkenaan turut menyokong aplikasi pihak ketiga khususnya untuk mereka yang menghidap masalah diebetes dan perkakas seperti keluaran Dexcom iaitu kaedah pemantauan berterusan glukos.

Aplikasi 'Health' oleh Apple berfungsi untuk menunjukkan trend peningkatan gula atau penurunan dalam badan secara masa nyata.

Ia sekali gus memberikan dimensi baharu dalam penjagaan serta pemantauan kesihatan yang lebih efisien dan jika berlaku trend penurunan gula yang kritikal, Apple Watch akan memberikan notifikasi amaran.

Semua kefungsian itu boleh dicapai hasil kerjasama serta kepakaran oleh tenaga pakar Apple untuk memberikan definisi baharu kepada pemantauan kesihatan yang lebih pintar serta sesuai dengan perubahan masa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:01 AM