PELANCARAN pelbagai jenis  peranti boleh pakai pada 2020 beri pengguna  pilihan.
PELANCARAN pelbagai jenis peranti boleh pakai pada 2020 beri pengguna pilihan.
Muhammad Saufi Hassan


TAHUN 2020 menyaksikan pelbagai pelancaran produk boleh pakai atau 'wearables' baharu yang memperlihatkan pelbagai kefungsian sesuai dengan gaya hidup pengguna pada masa kini.

Pengguna juga lebih bijak apabila cenderung untuk memilih peranti boleh pakai yang mempunyai pelbagai fungsi bermula daripada pembantu peribadi maya sehingga kepada jurulatih kecergasan mereka.

Ia juga sudah menjadi 'trend' pengguna pada hari ini untuk memakai jam pintar dan peranti berkenaan bukan lagi satu aksesori sebaliknya sudah menjadi kemestian yang memudahkan pengguna.

PANTAU aktiviti harian selain beri peringatan jika pemilik didapati tidak aktif.
PANTAU aktiviti harian selain beri peringatan jika pemilik didapati tidak aktif.

#ITMetro pada minggu ini akan menyenaraikan beberapa peranti terbaik sepanjang tahun ini dan ia diukur berasaskan kepada kefungsian, ciri, kemudahan penyelarasan dengan telefon pintar termasuk keupayaan prestasi jangka panjang.

Peranti boleh pakai terbaik 2020

Apple Watch Series 6

Tidak perlu sebarang perdebatan, tidak perlu ukuran prestasi dan sebagainya, peranti boleh pakai keluaran Apple ini adalah 'Raja' untuk semua peranti kelas berkenaan.

Status 'Raja' itu diperoleh berdasarkan kepada kefungsian yang menyeluruh termasuk ciri baharu dengan penyelarasan yang mudah untuk telefon pintar.

Apple Watch Series 6 dilengkapi dengan notifikasi kepada pengguna untuk membasuh tangan termasuk dengan tetapan jangka masa terbaik supaya pembersihan dapat dilakukan secara optimum.

Peranti boleh pakai berkenaan mempunyai kefungsian untuk memeriksa kadar oksigen pada darah (SpO2) dan ia menggunakan algoritma unik bersama-sama dengan pencahayaan infrared.

Apple Watch Series 6 ini menggunakan pemproses S6 dwi teras berasaskan kepada cip Apple A13 Bionic dengan optimasi khusus untuk jam pintar.

Paparan pemuka jam juga ditambah baik dengan Memoji Face dan beberapa fungsi lain yang direka untuk semua peringkat pengguna.

Ketahanan bateri untuk peranti boleh pakai keluaran Apple ini juga sangat mengagumkan apabila mampu untuk bertahan lebih sehari dengan penggunaan paling optimum selain paparan sentiasa dibuka.

Apple Watch Series 6 juga sarat dilengkapi dengan pelbagai ciri kecergasan termasuk latihan di rekreasi di luar rumah serta di dalam rumah dengan tetapan mudah. Tidak hairanlah mengapa pengguna lebih cenderung untuk memilih Apple Watch Series 6 kerana ia sarat dengan pelbagai fungsi selain mudah untuk melakukan penyelarasan dengan iPhone tanpa sebarang masalah.

Prestasi: 5/5

Keupayaan: 5/5

Harga:4.5/5

Huawei Watch GT2 Pro

Huawei sememangnya aktif dalam pelancaran pelbagai produk baharu terutamanya bagi segmen peranti boleh pakai.

Menerusi jam pintar mereka, Huawei Watch GT 2 Pro tidak mengecewakan apabila mempunyai fungsi terkini selain daripada tanda harga mesra pengguna.

Hadir dengan reka bentuk mewah serta dilengkapi ciri pemantauan kesihatan dan sukan, jam tangan pintar ini ditawarkan pada harga RM1,199.

Misalnya jika ingin melakukan latihan larian, tetapi tidak tahu harus bermula dari mana, HUAWEI Watch GT 2 Pro ada lebih 10 kursus larian profesional diprogramkan untuk menunjukkan kaedah latihan yang betul.

Lebih menarik, jika jam tangan pintar ini mengesan pemiliknya tidak aktif atau duduk diam untuk jangka masa yang lama, ia akan mengeluarkan fungsi getaran sebagai peringatan supaya si pemakai melakukan gerakan atau senaman ringan.

Huawei Watch GT 2 Pro turut menyediakan lebih daripada 100 mod latihan berbeza sebagai standard untuk membantu memantau aktiviti serta kemajuan pengguna termasuklah berenang, berbasikal, mendaki, yoga, ski, golf dan banyak lagi.

Prestasi: 4.5/5

Keupayaan:4/5

Harga: 4.5/5

SAMSUNG Galaxy Watch 3.
SAMSUNG Galaxy Watch 3.

Samsung Galaxy Watch 3

ELEGAN, bergaya, 'trendy' dan berteknologi. Itu adalah empat rangkai kata yang paling sesuai untuk menggambarkan peranti boleh pakai terbaharu keluaran Samsung.

Untuk peranti Samsung Galaxy Watch 3, ia menampilkan keempat-empat elemen berkenaan, malah sangat sesuai untuk semua lapisan umur serta keadaan pemakai.

Sesuai dengan kemajuan teknologi masa kini, setiap individu mahu ketersambungan yang lebih maksimum dan ia tidak hanya tertumpu kepada peranti mudah alih sebaliknya setiap peranti boleh pakai.

Pengguna pula lebih memilih peranti boleh pakai yang mampu disesuaikan dengan segenap keadaan daripada aktiviti riadah sehingga kepada majlis formal yang memerlukan seseorang itu memakai sut.

Prestasi: 4/5

Keupayaan:4/5

Harga: 4/5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:00 AM