Muhammad Saufi Hassan

Pengeluar peranti pintar terkemuka, Honor melancarkan peranti Honor Magic6 Pro untuk pasaran tempatan, sebentar tadi.

Sebelum ini, peranti berkenaan sudah diperkenalkan ketika Kongres Mudahalih Sedunia (MWC 2024) di Barcelona, Sepanyol, bulan lalu.

Honor melakukan kejutan apabila memperkenalkan dua variasi daripada Honor Magic V2 serta Magic6 menerusi rekaan berinspirasikan Porsche yang dikenali sebagai Magic V2 RSR dan Magic6 RSR.

Peranti Honor Magic6 Pro ini menjadi peranti kelas perdana terbaharu untuk Honor serta meneruskan legasi dengan penetapan spesifikasi serba maju.

Sesuai dengan peranti kelas perdana, Honor Magic6 Pro itu dilengkapi dengan tetapan tiga lensa termasuk salah satu lensa berkeupayaan 180 megapiksel (MP) sistem kamera 'Tele Falcon'. 

Bagi dua lagi lensa berkeupayaan 50MP sebagai lensa utama dan 50MP untuk sudut ultra lebar.

Peranti berkenaan dikuasakan dengan cip Qualcomm Snapdragon 8 Gen 3 sekali gus memberikan keupayaan luar biasa dan sokongan terhadap Kecerdasan Buatan (AI).

Honor Magic6 Pro menjalankan sistem operasi MagicOS 8.0 iaitu sistem antara muka pertama berasaskan kepada AI dan memberikan pengalaman yang lancar kepada pengguna.

Pada masa sama, peranti ini juga dilengkapi dengan 'Magic Capsule' yang memberikan maklumat serta merta kepada pengguna khusus untuk notifikasi tanpa perlu membuka banyak aplikasi.

Peranti ini didatangkan dengan saiz skrin 6.8 inci dengan paparan LTPO dan dilengkapi dengan 'NanoCrystal Shield' yang mempunyai 10 kali lebih tahan daripada kaca biasa.

Tanda harga untuk Honor Magic6 Pro adalah RM4,499 dan pembeli akan menerima hadiah bernilai RM1,960 berupa Honor Watch4, fon telinga Honor X6 dan beberapa barangan lain.

Untuk Honor Magic V2 RSR berharga RM10,999 manakala bagi Honor Magic6 RSR adalah RM7,499.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2024 @ 11:31 PM